Sabda Nabi Muhammad S.A.W
" Siapa yang Allah mahukan kebaikan padanya, nescaya Allah memberikan kefahaman agama kepadanya "
Memaparkan catatan dengan label Akhlak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Akhlak. Papar semua catatan

Mandi-mandi yang di Sunatkan

Jumaat, 10 Mei 2013



Mandi sunat ialah mandi yang dikerjakan oleh seseorang untuk memperolehi pahala dan pujian dari Allah. Apabila ditinggalkan mandi sunat ini tidak menjadi masalah dan tidak dicela oleh Allah kepadanya. Mandi ini juga adalah mandi yang disunatkan dan solat dan ibadah lain tetap sah walaupun seseorang itu tidak melakukan mandi sunat ini.


1) Mandi Sunat Jumaat

Mandi sunat jumaat hanyalah disunat kepada mereka yang hendak mengerjakan solat jumaat, boleh juga mandi sunat ini bagi orang yang tidak wajib mengerjakan solat jumaat, seperti hamba sahaya, orang musafir, kanak-kanak dan orang-orang perempuan. Rasulullah SAW bersabda :

“Apabila seseorang kamu ingin menghadiri solat jumaat maka hendaklah ia mandi.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Masa Mandi

Waktu untuk mandi sunat jumaat ini adalah bermula dari terbitnya fajar Sidiq, walaupun begitu waktu yang paling afdal (baik) ialah mandi ketika hendak pergi ke masjid untuk menunaikan solat fardhu jumaat. Orang yang mandi setelah selesainya solat jumaat tidak dikira sebagai mandi sunat jumaat, kerana habisnya waktu mandi ini setelah selesainya solat jumaat.


2) Mandi Sunat Hari Raya

Disunatkan mandi ke atas seseorang itu sekalipun mereka tidak ingin menghadiri atau pergi ke masjid untuk solat hari raya, sekalipun orang-orang perempuan yang dalam haidh dan nifas, kerana kedua-dua hari raya itu adalah hari berhias dengan pakaian-pakaian yang cantik dan bau-bauan yang harum. Oleh itu sewajarnya pada hari raya setiap orang mestilah bersih badannya dari kekotoran dan bau yang busuk. 
Dari Ibnu Abbad ra berkata :

“Adalah Rasulullah SAW mandi pada hari raya fitrah dan hari raya korban.” (Ibnu Majah)

Masa Mandi

Waktu mandi sunat dua hari raya ini adalah dari waktu pertengahan malam sehinggalah terbenamnya matahari. Afdhal seseorang itu mandi sunat ini selepas terbitnya fajar.


3) Mandi Sunat Solat Istisqa (Minta Hujan)

Disunatkan mandi ke atas mereka yang hendak keluar (pergi) ke tempat sembahyang istisqa. Perkara ini adalah supaya hilang bau busuk yang ada di badan mereka itu. Mandi sunat ini ia mempunyai persamaan dengan mandi sunat jumaat, kerana ia mempunyai tujuan yang sama.

Masa Mandi

Masa mandi sunat solat istisqa ini adalah dari masa orang tersebut hendak solat sunat istisqa. Masa habis waktu mandi sunat ini adalah setelah selesainya solat sunat istisqa.


4) Mandi Selepas Memandikan Mayat

Adalah disunatkan bagi orang yang memandikan mayat agar dapat membersihkan dirinya dengan cara mandi sebaik sahaja selesai memandikan mayat. Rasulullah SAW bersabda :

“Sesiapa yang memandikan mayat maka hendaklah dia mandi.”
(Riwayat Ahmad)

Masa Mandi

Waktu mandi sunat selepas memandikan mayat ini adalah setelah selesainya mandi mayat.


5) Mandi Gerhana Matahari Dan Bulan

Disunatkan mandi ketika hendak mendirikan solat gerhana matahari dan gerhana bulan. Mandi ini diqiyaskan kepada mandi sunat hari jumaat kerana kedua-duanya mempunyai maksud yang sama.

Masa Mandi

Masa mandi sunat gerhana ini ialah dari mulanya berlaku gerhana matahari dan bulan. Habis waktu mandi gerhana ini apabila tamatnya berlaku gerhana.


6) Mandi Sunat Ihram

Mandi ketika hendak memakai ihram adalah diantara beberapa jenis mandi yang disunatkan, sama ada mereka itu ihram haji atau umrah atau kedua-duanya sekali. Ia disunatkan semua sama ada kanak-kanak atau orang yang telah baligh, lelaki atau perempuan. Dari Zaid Bin Thabit ra berkata :

“Dia pernah melihat Rasulullah SAW membuka pakaiannya ketika hendak berihram, lalu beliau mandi.” (Riwayat At-Tarmizi)

Masa Mandi

Bagi sesiapa yang ingin mandi sunat ihram ini ialah sebelum memakai ihram haji atau umrah.


7) Mandi Sunat Hendak Memasuki Kota Mekah

Bagi seseorang yang hendak memasuki Kota Mekah disunatkan mandi terlebih dahulu. Dari Ibnu Umar ra berkata :

“Dia tidak memasuki Kota Mekah kecuali bermalam di Zi Thuwa terlebih dahulu hingga waktu pagi. Setelah itu, barulah dia memasuki ke Kota Mekah pada siang harinya. Dia menyebutkan bahawa Nabi SAW pernah melakukan seperti itu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Masa Mandi

Masuk waktunya ialah daripada naik fajar dan afdhalnya kemudian daripada gelincirnya matahari.


8) Mandi Ketika Hendak Wuquf Di Arafah

Mandi kerana hendak wuquf di Arafah adalah diantara beberapa jenis mandi yang disunatkan. Dari Ibnu Umar ra berkata :

“Adalah Abdullah Bin Umar mengerjakan mandi untuk ihram sebelum dia melakukan ihram, untuk masuk Kota Mekah dan untuk wuqufnya pada petang harinya Arafah.” (Riwayat Malik)

Masa Mandi

Waktu untuk mengerjakan mandi sunat wuquf di Arafah ialah sebelum melakukan wuquf.

Penghalang Dari Doa Diterima Allah

Ahad, 17 Februari 2013



Antara sifat seorang Mukmin sejati ialah sentiasa memohon dan meminta kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan dan bersungguh-sungguh. Doa adalah talian hayat dalam kehidupan seorang insan bernama hamba dengan Allah yang Maha Berkuasa.

Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia akan merasakan Allah SWT sentiasa dekat dengannya, mengawal dan memerhatikan segala tindakannya tanpa henti. Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia perlu yakin dan percaya bahawa doanya itu akan diperkenankan oleh Allah SWT.

Keyakinan ini berasaskan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: 
"Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina." 
(Al-Mukmin: 60)

Namun begitu, kita perlu berwaspada agar doa yang kita panjatkan kepada Allah SWT tidak terhalang daripada dimakbulkan. Ini adalah kerana, terdapat daripada kalangan orang beriman yang bukan sahaja tidak dimakbulkan, bahkan langsung tidak dipedulikan oleh Allah SWT. Antaranya ialah;

1) Menggunakan harta haram

Seseorang yang memperoleh pendapatan yang haram. Lalu menggunakannya untuk makan dan minum, membeli pakaian, rumah dan kenderaan. Ia akan menyebabkan doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT terhijab dan tidak diterima.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud: ...Seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. (H.R Muslim)

Dalam hadis tersebut Rasulullah SAW telah menggambarkan bagaimana doa seseorang itu boleh ditolak disebabkan harta yang haram.Walaupun dia telah menepati ciri-ciri doa yang makbul seperti bermusafir, tawaduk dan bersungguh-sungguh. Namun, tetap juga ditolak kerana tidak mempedulikan persoalan hartanya, sama ada daripada sumber yang halal atau yang haram.

Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam menentukan sumber pendapatan yang kita peroleh, sama ada haram secara zat (haram lizatihi) atau haram kerana sebab-sebab yang lain (haram lighairihi).

Haram lizatihi boleh terjadi apabila kita terlibat dalam kegiatan haram yang telah terkandung dalam al-Quran dan hadis secara langsung seperti; perniagaan minuman keras, perjudian dan maksiat. Manakala haram lighairihi pula yang melibatkan keharaman secara tidak langsung seperti riba, gharar dan sebagainya.

2) Gelojoh dan terburu-buru

Antara golongan yang ditolak doanya ialah mereka yang gelojoh dan terburu-buru ketika berdoa.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Dikabulkan doa seseorang daripada kalian selama ia tidak buru-buru, (di mana) ia berkata: Aku sudah berdoa namun belum dikabulkan doaku. "(H.R Al-Bukhari)

Yang dimaksudkan dengan demikian ialah mereka yang apabila berdoa, dia seolah-olah mendesak dan memaksa Allah SWT supaya memakbulkan doanya secepat mungkin. Justeru, dalam kita berdoa, kena banyakkan bersabar dan bersangka baik kepada Allah SWT.

Mungkin doa kita sudah dimakbulkan, tetapi menunggu masa untuk dijadikan sebagai realiti. Semuanya mengikut keputusan dan perancangan Allah dan ia adalah yang terbaik.

Lihatlah bagaimana Nabi Musa dan Nabi Harun as. berdoa tentang kekejaman Firaun. Doa mereka berdua dimakbulkan oleh Allah SWT. Namun, kerajaan Firaun tidak tumbang dalam masa sehari dua, bahkan memakan masa puluhan tahun selepas itu.

Demikian juga Nabi Yaakub as. yang tidak putus-putus berdoa kepada Allah SWT supaya dikembalikan anak Baginda iaitu Nabi Yusuf as. Doanya dimakbulkan, namun selepas puluhan tahun baru Baginda bertemu semula dengan Nabi Yusuf as.

3) Tidak bersungguh-sungguh dalam berdoa

Sebagaimana sekiranya kita meminta daripada manusia, kita juga perlu bersungguh-sungguh ketika berdoa dan memohon daripada Allah SWT. Tidak boleh berdoa secara sambil lewa atau acuh tak acuh seperti melepaskan batuk di tangga.

Sabda Nabi SAW: Apabila seseorang daripada kamu berdoa dan memohon kepada Allah SWT, janganlah dia mengucapkan: 
"Ya Allah, ampunilah dosaku jika Engkau kehendaki, sayangilah aku jika Engkau kehendaki, dan berilah rezeki jika engkau kehendaki". Akan tetapi, dia harus bersungguh-sungguh dalam berdoa. Sesungguhnya Allah berbuat menurut apa yang Dia kehendaki dan tidak ada yang memaksa-Nya.
(H.R Al-Bukhari)

4) Lalai dan tidak khusyuk

Kita perlu fokus dan betul-betul memberikan perhatian dengan penuh pengharapan. Setiap lafaz perkataan yang diungkapkan daripada mulut perlu keluar daripada hati yang tulus ikhlas. Ini menuntut supaya kita memahami isi kandungan doa yang dikemukakan.

Sabda Nabi SAW: "Berdoalah kepada Allah SWT dan kamu yakin akan dikabulkan. Ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengkabulkan doa orang yang hatinya lalai dan tidak khusyuk." (H.R At-Tirmidzi dan Al-Hakim).

5) Meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar

Allah SWT telah menjadikan amar makruf dan nahi mungkar sebagai satu syarat untuk kita menjadi umat yang terbaik. Firman Allah SWT yang bermaksud: 
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." 
(Al-Imran: 110)

Apabila kita meninggalkan kewajipan ini, maka akan berleluasalah maksiat dan penderhakaan di atas muka bumi. Apabila kita hanya melihat sahaja ma ksiat yang berlaku tanpa mengambil tindakan untuk membanterasnya, maka pada ketika itulah Allah SWT akan menurunkan bala dan tidak akan memakbulkan doa kita.

Nabi SAW bersabda: 
"Demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, hendaklah kalian menyuruh yang makruf dan mencegah kemungkaran atau (kalau tidak kalian lakukan) maka pasti Allah akan menurunkan seksaan kepada kalian, hingga kalian berdoa kepada-Nya, tetapi tidak dikabulkan."
 (H.R At-Tirmidzi dan Ahmad)


sumber : utusan.com

Fesyen Berlandaskan Syariat Islam

Khamis, 14 Februari 2013


Sabda Nabi S.A.W

”Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak” 
[Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr]


Hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa antara tujuan Nabi saw diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak umat manusia. Penyempurnaan akhlak ini adalah melalui contoh dan teladan mulia yang ditunjukkan oleh Baginda kepada umatnya atau disebut sebagai qudwah hasanah. Dalam hal ini Allah swt telah berfirman : “Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu peribadi yang mulia”. (al-Ahzab:21). Antara akhlak-akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw adalah dengan menjaga penampilan diri Baginda di hadapan khalayak ramai. Hal ini termasuklah bagaimana ‘fesyen baginda’ ketika berpakaian.

Adakah salah untuk kita berfesyen? Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya untuk mengenakan sesuatu fesyen sama ada dalam bentuk pakaian ataupun aksesori kecantikan. Sesungguhnya Allah menyukai hamba-hambaNya yang menjaga keterampilan diri dan kecantikan. Malah Allah swt menyukai sesuatu perkara yang cantik dan indah.

Daripada Abdullah Ibnu Masud ra beliau mendengar Rasulullah saw bersabda: 

“Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada sifat sombong walaupun seberat zarah”. Maka telah berkata seorang lelaki kepada Baginda:”Sesungguhnya seseorang individu itu suka jika pakaiannya baik dan kasutnya juga baik”. Balas Baginda saw, ”Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan. Sifat sombong meleyapkan kebenaran dan merupakan kehinaan kepada manusia”. 

[H.R Muslim]



Daripada hadith ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah saw tidak melarang seseorang manusia itu untuk memperagakan fesyen malah Baginda menerangkan bahawa Allah itu sifatNya cantik dan suka akan kecantikan. Namun Rasulullah saw melarang jika seseorang itu berfesyen dalam keadaan angkuh dan sombong kepada masyarakat sekelilingnya.



Walaupun kita diberikan kebebasan dalam memperagakan sesuatu fesyen, tidak bermakna kita boleh memakai apa sahaja pakaian tanpa perlu menghiraukan adab dan tata susila. Sesungguhnya Islam telah menggariskan beberapa panduan bagi seseorang muslim mahupun muslimah dalam berpakaian. Antara perkara yang perlu diambil perhatian dalam berfesyen ialah:



1) Memastikan pakaian tersebut menutup aurat.

Apakah itu aurat? Aurat berasal daripada perkataan arab yang bermaksud aib atau kekurangan pada sesuatu benda. Apabila menyebut mengenai aurat dalam berpakaian ialah kawasan anggota yang perlu dijaga dan ditutup oleh setiap orang Islam daripada dilihat oleh orang lain. Tujuan utama diwajibkan menutup aurat ke atas umat Islam adalah semata-mata untuk memelihara dirinya dan orang lain daripada perkara-perkara buruk yang menjerumuskan mereka ke dalam lembah dosa. Aurat bagi seseorang lelaki adalah di antara kawasan pusat dan lututnya. Manakala bagi seseorang wanita pula auratnya ketika bersama dengan bukan mahram adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan kedua pergelangan tangannya.


2) Tidak memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh 

Antara adab ketika berpakaian adalah memakai pakaian yang tidak ketat yang menampakkan bentuk tubuh si pemakai terutamanya kepada kaum wanita. Dalam hal ini Nabi SAW telah menyatakan sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya bahawa antara golongan yang akan diazab oleh Allah dalam api neraka adalah golongan perempuan yang disebut ‘Kaasiyat Aariyat’ iaitu wanita-wanita yang memakai pakaian dengan mendedahkan sebahagian bentuk tubuhnya. Salah seorang ulama’ terkenal iaitu Sheikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin ketika mengulas hadith ini beliau menyatakan bahawa yang dimaksudkan golongan ini antaranya perempuan yang menampakkan bentuk tubuh badan sama ada dengan pakaian yang ketat, jarang mahupun terdedah sebahagian daripada tubuh badannya yang telah dilarang oleh syariat Islam.

Bagi kaum lelaki juga mereka tidak digalakkan untuk memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh pada bahagian aurat mereka dan hukumnya adalah makruh sepertimana yang diterangkan oleh Imam al-Nawawi dalam karyanya al-Majmu’.


3) Tidak memakai pakaian atau aksesori yang menyerupai ciri-ciri budaya orang bukan Islam.

Sesungguhnya Islam melarang umatnya daripada terikut-ikut dengan budaya negatif masyarakat bukan Islam. Hal ini termasuklah ketika berpakaian dan memperagakan sesuatu fesyen. Nabi saw telah melarang kita daripada terikut-ikut dengan budaya luar yang kadang kala mampu menggugat akidah dan akhlak umat Islam terutamanya di kalangan para pemuda-pemudi. Dalam sebuah hadith Nabi saw pernah bersabda: ” Sesiapa yang terikut-ikut dengan gaya hidup sesuatu kaum maka dia termasuk dalam golongan tersebut” (Direkodkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi). Hadith ini melarang umat Islam daripada terikut-ikut dengan budaya luar yang bersifat negatif termasuklah dalam berpakaian.

Antara ikutan negatif yang berlaku seperti memakai pakaian yang mempunyai gambar salib, gambar-gambar yang tidak menutup aurat, bertindik pada anggota badan tertentu bagi kaum lelaki, melukis tatu dan lain-lain. Inilah realiti umat Islam akhir zaman sepertimana yang telah dinyatakan oleh Nabi saw : “Sesungguhnya kamu akan mengikuti gaya hidup masyarakat selepas kamu (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak sekali pun nescaya kamu akan memasukinya”. (Hadith muttafaq alaih).


4) Fesyen yang bertentangan dengan jantina si pemakai.

Sesungguhnya Islam melarang umatnya daripada menyerupai golongan yang berlainan jantina. Hal ini termasuklah dalam memperagakan fesyen. Hukum lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki adalah haram kerana ianya berlawanan dengan fitrah asal penciptaan seseorang manusia sama ada dalam tingkah laku dan juga pemakaian. Contohnya kaum lelaki tidak dibenarkan memakai pakaian yang menunjukkan ciri-ciri kaum wanita seperti memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera. Begitulah juga mereka ditegah daripada memperagakan tubuh badan mereka dengan aksesori wanita seperti rantai emas, pewarna bibir, pewarna kuku dan sebagainya. Nabi saw telah bersabda: “Sesungguhnya Allah swt melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki”. (Direkodkan oleh Abu Daud, al-Nasaie dan Ahmad).


5) Mengelakkan daripada fesyen-fesyen yang keterlaluan daripada adat kebiasaan masyarakat setempat.

Nabi saw menganjurkan kita supaya bersederhana dalam segala perkara termasuklah ketika memperagakan sesuatu fesyen. Kita perlu mengambil berat dalam memilih sesuatu fesyen yang ingin diketengahkan. Antara larangan Nabi saw dalam berpakaian ialah memakai pakaian yang disebut sebagai pakaian ‘syuhrah’ iaitu pakaian yang keterlaluan bentuk dan potongannya berbanding pakaian-pakaian kebiasaan. Hal ini adalah untuk mengelakkan daripada timbulnya perasaan sombong di dalam jiwa si pemakai. Nabi saw telah bersabda:

Sesiapa yang memakai pakaian ‘syuhrah’ di dunia maka Allah swt akan memakaikannya dengan pakaian yang hina pada hari akhirat”. 
(H.R Abu Daud & Ibnu Majah).

Kesimpulannya Islam tidak melarang seseorang itu untuk berfesyen namun perlulah mengikut sebagaimana yang telah digariskan oleh syariat Islam. Malah kita digalakkan untuk menghias diri kita secara kemas, cantik dan sederhana. Persoalan penting juga adalah bagaimanakah niat kita ketika berfesyen? Dan kita sewajibnya menghiaskan fesyen kita yang diharuskan syarak itu tadi dengan penuh rasa ketaqwaan sepertimana firman Allah swt : “Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik”.


Sumber : imamudasyraf.com


Kemuliaan Akhlak Rasulullah S.A.W

Khamis, 24 Januari 2013



Rasulullah s.a.w. itu adalah manusia yang amat bertoleransi, amat berani, amat adil dan amat bersopan-santun sekali. Tangannya tidak pernah sama sekali menyentuh tangan wanita ajnabiah (asing) yang bukan miliknya sebagai hamba sahaya atau yang mempunyai hubungan pernikahan dengannya ataupun yang bukan mahramnya.

Baginda amat murah hati orangnya. Tidak pernah Baginda tidur selagi ada dalam tangan Baginda sedinar ataupun sedirham. Bila ada kelebihan wang dalam tangannya dan tiada pula sesiapa yang hendak diberikannya sehingga malam tiba, maka Baginda tidak akan kembali ke rumahnya, melainkan sesudah Baginda menemui orang yang berhajat untuk diberikan wang yang lebih itu kepada orang tersebut.

Baginda tiada mengambil rezeki yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala lebih dari keperluan makan-minum untuk setahun saja. Selebih dari rezeki-rezeki itu Baginda letakkan untuk fisabilillah. Tidak pernah dimintai sesuatu darinya, melainkan Baginda memberinya.

Apabila habis, Baginda akan mengambil pula dari simpanan makanan keluarganya sendiri lalu memberikan kepada orang yang berhajat, sehingga seringkali belum sempat selesai akhir tahun, makanan itu akan kehabisan, lalu Baginda terpaksa meminjam pula dari orang lain untuk mencukupi keperluannya sendiri.

Bagindalah sendiri yang menjahit kasutnya bila putus dan menampal bajunya bila koyak. Baginda suka membantu ahli rumah dalam pekerjaan rumahtangganya.

Baginda amat pemalu orangnya tidak pernah menatap wajah orang lama-lama. Baginda menyahut undangan orang yang merdeka dan hamba sahaya. Baginda menerima hadiah tidak kira pun apa pun, walaupun hanya seteguk air susu, dan sering membalas hadiah itu dan memakannya. Tetapi baginda tidak memakannya dari pemberian sedekah. Baginda tidak pernah merasa dirinya rendah bila memenuhi keperluan hamba sahaya wanita ataupun seorang miskin.

Baginda amat marah sekali jika hak Allah dicabul, tetapi tidak marah pula, jika haknya sendiri dilanggar.

Pada suatu kali, seorang sahabatnya terbunuh di kawasan perkampungan Yahudi, Baginda tidak membalas dendam terhadap kaum Yahudi, tetapi Baginda menghukum menurut yang hak; iaitu mendenda mereka membayar fidyah sebanyak 100 ekor unta betina tidak lebih dari itu. Padahal para sahabat ketika itu, sangat berhajat kepada tambahan sekalipun seekor lagi untuk dijadikan makanan bagi menguatkan diri mereka.

Baginda sentiasa mengikat batu di perutnya untuk menahan lapar. Bila makan tidak pernah cerewet, tetapi makan apa yang disediakan saja dan tidak pernah menolak.

Kiranya makanan yang dihidangkan itu hanya buah tamar tanpa roti, baginda makan juga. Kiranya yang dihidangkan itu daging panggang, makan juga. Ataupun jika roti gandum atau roti syair, makan juga. Ataupun manisan saja atau madu, makan juga. Ataupun susu semata-mata tanpa roti, minum juga. Jika diberikan semangka ataupun kurma mengkal, makan juga.

Tidak pernah bersandar di waktu makan ataupun memasang meja untuk meletakkan makanan. Tidak pernah kenyang dari roti gandum selama tiga hari berturut-turut, sehingga wafat menemui Allah Ta’ala. Ini semuanya dilakukan semata-mata kerana mementingkan diri orang lain dari diri sendiri bukan kerana fakir atau kikir.

Adapun peribadi Rasulullah s.a.w. itu seorang yang amat tawadhu’ (merendah diri) amat pendiam bukan sombong, amat fasih dalam tutur kata tanpa banyak bicara amat sempurna dan elok paras rupanya. Tidak pernah menganggap penting sesuatu pun dari urusan keduniaan.

Cincinnya terbuat dari perak, yang dipakainya di jari kelingking kanan dan kiri. Baginda mengenderai keledai dan membenarkan di belakang keledai itu dibuncingi oleh hamba sahayanya ataupun orang lain.

Selalu melawat pesakit-pesakit meskipun rumahnya jauh dipinggir kota, suka kepada yang baik, sering duduk bersama-sama fakir-miskin, memberi makan kepada orang miskin. Baginda menghormati orang-orang yang terutama, sentiasa memuliakan orang-orang yang dimuliakan dengan berbakti kepada mereka.

Baginda Rasulullah s.a.w. sentiasa berhubung dengan kaum kerabatnya, tidak pernah mengecewakan sesiapapun, selalu menerima alasan orang yang memberikan keuzuran, suka bergurau-senda, tetapi tidak berkata melainkan yang hak saja, tertawanya setakat senyum saja tanpa mengilai.

Baginda tidak pernah mengingkari permainan-permainan yang mubah (harus) yang dibolehkan oleh agama, pernah berlumba lari dengan isterinya. Ada kalanya setengah-setengah orang tidak bertimbang rasa mengangkat suara di hadapan Baginda, tetapi Baginda tetap bersabar saja.

Tidak pernah makanan atau pakaian Baginda lebih baik dari makanan dan pakaian hamba sahayanya. Tidak pernah berlalu suatu masa pun tanpa membuat sesuatu pekerjaan yang diredhai Allah, ataupun pekerjaan lain yang perlu untuk membetulkan diri sendiri.

Baginda selalu bersiar-siar di kebun-kebun sahabat-sahabatnya. Tidak pernah menghina-hinakan orang miskin kerana kemiskinannya. Tidak gentar kepada raja kerana kekuasaan atau kerajaannya. Baginda menyeru yang rendah dan yang tinggi kepada Allah Ta’ala dengan seruan yang sama.

Allah Ta’ala telah melengkapkan peribadi Rasulullah s.a.w. dengan kelakuan yang tinggi dan siasah yang sempurna, padahal Baginda itu seorang yang ummi, tidak pandai membaca atau menulis. Baginda dibesarkan di negeri yang masih dibelenggu oleh kejahilan dan dikelilingi oleh padang pasir, hidup dalam keadaan miskin dan sebagai penggembala kambing, seorang anak yatim tiada berayah dan tiada beribu. Tetapi Allah Ta’ala telah mendidik baginda dengan sifat budi pekerti yang luhur dan perjalanan yang terpuji.

Diceritakan kapada Baginda berita-berita orang yang terdahulu dan yang akan datang untuk diambil pelajaran daripadanya. Dijadikan sempadan bagi keselamatan dan kemenangan di Hari Akhirat serta tauladan bagi kebahagiaan dan jalan keluar di dalam dunia.

Moga-moga Allah mengurniakan petunjuk kepada kami untuk menurut segala perintah Rasulullah s.a.w. dan mencontohi segala tauladan dalam perbuatan dan perilakunya, Amin Ya Rabbal Alamin.

Hukum Kencing Sambil Berdiri

Isnin, 21 Januari 2013


Tidak dibolehkan kencing berdiri, kerana ia bercanggah dengan sopan dan etika yang mulia, di samping mengelakkan diri daripada percikannya. Namun jika diyakini air kencing itu tidak memercik dan dapat dipastikan tidak akan terkena dirinya, maka tidak menjadi halangan baginya untuk kencing berdiri. 

Diriwayatkan dari Huzaifah R.A yang menceritakan :


“Suatu ketika Nabi SAW singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, beliau membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya.” 
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Petikan hadis di atas ini adalah untuk menunjukkan bahawa harus kencing sambil berdiri. Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan Rasulullah SAW kencing sambil berdiri. Kebiasaan Rasulullah ialah kencing secara duduk.

Imam An-Nawawi mengatakan kencing dalam keadaan duduk adalah lebih baik mengikutnya pandanganku, namun jika seseorang kencing dalam keadaan berdiri, maka itu juga tetap di bolehkan. Kedua-dua keadaan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Ada sebahagian ulamak mengatakan bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka perbuatan Nabi kencing berdiri adalah kerana ada keuzuran bagi baginda, kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafie orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.

Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas ra pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.


Rumusan dari perbahasan kencing berdiri di atas, maka hukumnya adalah harus jika orang tersebut mengalami kesukaran untuk kencing duduk. Manakala hukum makruh pula jika orang tersebut melakukan kencing berdiri dengan sengaja dan ia tidak mengalami apa-apa kesukaran dan musibah. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir ; "Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi SAW"


Sumber : Ustaz Nor Amin


Langgan

Masukkan email anda untuk mendapatkan artikel daripada kami
terus ke email anda secara percuma




Sahabat Blog

 
Design by Chicablogger | Contact Us | Creative Commons
Cinta Pencipta © 2013 by Deen Media
^