Sabda Nabi Muhammad S.A.W
" Siapa yang Allah mahukan kebaikan padanya, nescaya Allah memberikan kefahaman agama kepadanya "
Memaparkan catatan dengan label Sirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sirah. Papar semua catatan

Kronologi Peristiwa Israk & Mikraj

Khamis, 6 Jun 2013


Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam,

Dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S.A.W setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.


Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

  • Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
  • Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah
  • Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A. S. dilahirkan)

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :


1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail; Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.


Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Langit Pertama : Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Langit Kedua : Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

Langit Ketiga : Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S. 

Langit Keempat : Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

Langit Kelima : Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Langit Keenam : Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Langit Ketujuh : Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W , Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". 

Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).


Tangga Kelapan : Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.


Tangga Kesembilan : Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Tangga Kesepuluh : Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:


Allah S.W.T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. 

Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S.W.T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. 

Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S kemudian Nabi Musa A.S yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.


Selepas Mikraj


Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.



Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.


Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda S.A.W

Firman Allah S.W.T ,

"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
( Al-Israa' : 1)

Kemuliaan Akhlak Rasulullah S.A.W

Khamis, 24 Januari 2013



Rasulullah s.a.w. itu adalah manusia yang amat bertoleransi, amat berani, amat adil dan amat bersopan-santun sekali. Tangannya tidak pernah sama sekali menyentuh tangan wanita ajnabiah (asing) yang bukan miliknya sebagai hamba sahaya atau yang mempunyai hubungan pernikahan dengannya ataupun yang bukan mahramnya.

Baginda amat murah hati orangnya. Tidak pernah Baginda tidur selagi ada dalam tangan Baginda sedinar ataupun sedirham. Bila ada kelebihan wang dalam tangannya dan tiada pula sesiapa yang hendak diberikannya sehingga malam tiba, maka Baginda tidak akan kembali ke rumahnya, melainkan sesudah Baginda menemui orang yang berhajat untuk diberikan wang yang lebih itu kepada orang tersebut.

Baginda tiada mengambil rezeki yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala lebih dari keperluan makan-minum untuk setahun saja. Selebih dari rezeki-rezeki itu Baginda letakkan untuk fisabilillah. Tidak pernah dimintai sesuatu darinya, melainkan Baginda memberinya.

Apabila habis, Baginda akan mengambil pula dari simpanan makanan keluarganya sendiri lalu memberikan kepada orang yang berhajat, sehingga seringkali belum sempat selesai akhir tahun, makanan itu akan kehabisan, lalu Baginda terpaksa meminjam pula dari orang lain untuk mencukupi keperluannya sendiri.

Bagindalah sendiri yang menjahit kasutnya bila putus dan menampal bajunya bila koyak. Baginda suka membantu ahli rumah dalam pekerjaan rumahtangganya.

Baginda amat pemalu orangnya tidak pernah menatap wajah orang lama-lama. Baginda menyahut undangan orang yang merdeka dan hamba sahaya. Baginda menerima hadiah tidak kira pun apa pun, walaupun hanya seteguk air susu, dan sering membalas hadiah itu dan memakannya. Tetapi baginda tidak memakannya dari pemberian sedekah. Baginda tidak pernah merasa dirinya rendah bila memenuhi keperluan hamba sahaya wanita ataupun seorang miskin.

Baginda amat marah sekali jika hak Allah dicabul, tetapi tidak marah pula, jika haknya sendiri dilanggar.

Pada suatu kali, seorang sahabatnya terbunuh di kawasan perkampungan Yahudi, Baginda tidak membalas dendam terhadap kaum Yahudi, tetapi Baginda menghukum menurut yang hak; iaitu mendenda mereka membayar fidyah sebanyak 100 ekor unta betina tidak lebih dari itu. Padahal para sahabat ketika itu, sangat berhajat kepada tambahan sekalipun seekor lagi untuk dijadikan makanan bagi menguatkan diri mereka.

Baginda sentiasa mengikat batu di perutnya untuk menahan lapar. Bila makan tidak pernah cerewet, tetapi makan apa yang disediakan saja dan tidak pernah menolak.

Kiranya makanan yang dihidangkan itu hanya buah tamar tanpa roti, baginda makan juga. Kiranya yang dihidangkan itu daging panggang, makan juga. Ataupun jika roti gandum atau roti syair, makan juga. Ataupun manisan saja atau madu, makan juga. Ataupun susu semata-mata tanpa roti, minum juga. Jika diberikan semangka ataupun kurma mengkal, makan juga.

Tidak pernah bersandar di waktu makan ataupun memasang meja untuk meletakkan makanan. Tidak pernah kenyang dari roti gandum selama tiga hari berturut-turut, sehingga wafat menemui Allah Ta’ala. Ini semuanya dilakukan semata-mata kerana mementingkan diri orang lain dari diri sendiri bukan kerana fakir atau kikir.

Adapun peribadi Rasulullah s.a.w. itu seorang yang amat tawadhu’ (merendah diri) amat pendiam bukan sombong, amat fasih dalam tutur kata tanpa banyak bicara amat sempurna dan elok paras rupanya. Tidak pernah menganggap penting sesuatu pun dari urusan keduniaan.

Cincinnya terbuat dari perak, yang dipakainya di jari kelingking kanan dan kiri. Baginda mengenderai keledai dan membenarkan di belakang keledai itu dibuncingi oleh hamba sahayanya ataupun orang lain.

Selalu melawat pesakit-pesakit meskipun rumahnya jauh dipinggir kota, suka kepada yang baik, sering duduk bersama-sama fakir-miskin, memberi makan kepada orang miskin. Baginda menghormati orang-orang yang terutama, sentiasa memuliakan orang-orang yang dimuliakan dengan berbakti kepada mereka.

Baginda Rasulullah s.a.w. sentiasa berhubung dengan kaum kerabatnya, tidak pernah mengecewakan sesiapapun, selalu menerima alasan orang yang memberikan keuzuran, suka bergurau-senda, tetapi tidak berkata melainkan yang hak saja, tertawanya setakat senyum saja tanpa mengilai.

Baginda tidak pernah mengingkari permainan-permainan yang mubah (harus) yang dibolehkan oleh agama, pernah berlumba lari dengan isterinya. Ada kalanya setengah-setengah orang tidak bertimbang rasa mengangkat suara di hadapan Baginda, tetapi Baginda tetap bersabar saja.

Tidak pernah makanan atau pakaian Baginda lebih baik dari makanan dan pakaian hamba sahayanya. Tidak pernah berlalu suatu masa pun tanpa membuat sesuatu pekerjaan yang diredhai Allah, ataupun pekerjaan lain yang perlu untuk membetulkan diri sendiri.

Baginda selalu bersiar-siar di kebun-kebun sahabat-sahabatnya. Tidak pernah menghina-hinakan orang miskin kerana kemiskinannya. Tidak gentar kepada raja kerana kekuasaan atau kerajaannya. Baginda menyeru yang rendah dan yang tinggi kepada Allah Ta’ala dengan seruan yang sama.

Allah Ta’ala telah melengkapkan peribadi Rasulullah s.a.w. dengan kelakuan yang tinggi dan siasah yang sempurna, padahal Baginda itu seorang yang ummi, tidak pandai membaca atau menulis. Baginda dibesarkan di negeri yang masih dibelenggu oleh kejahilan dan dikelilingi oleh padang pasir, hidup dalam keadaan miskin dan sebagai penggembala kambing, seorang anak yatim tiada berayah dan tiada beribu. Tetapi Allah Ta’ala telah mendidik baginda dengan sifat budi pekerti yang luhur dan perjalanan yang terpuji.

Diceritakan kapada Baginda berita-berita orang yang terdahulu dan yang akan datang untuk diambil pelajaran daripadanya. Dijadikan sempadan bagi keselamatan dan kemenangan di Hari Akhirat serta tauladan bagi kebahagiaan dan jalan keluar di dalam dunia.

Moga-moga Allah mengurniakan petunjuk kepada kami untuk menurut segala perintah Rasulullah s.a.w. dan mencontohi segala tauladan dalam perbuatan dan perilakunya, Amin Ya Rabbal Alamin.

Langgan

Masukkan email anda untuk mendapatkan artikel daripada kami
terus ke email anda secara percuma




Sahabat Blog

 
Design by Chicablogger | Contact Us | Creative Commons
Cinta Pencipta © 2013 by Deen Media
^