Sabda Nabi Muhammad S.A.W
" Siapa yang Allah mahukan kebaikan padanya, nescaya Allah memberikan kefahaman agama kepadanya "
Memaparkan catatan dengan label Ibadah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ibadah. Papar semua catatan

Enggan Berada di Saf Hadapan?

Rabu, 4 September 2013




"Memberi keutamaan kepada orang lain dalam melakukan amalan qurbah adalah makruh"


Satu fenomena yang selalu kita lihat di masjid-masjid, terutamanya hari jumaat; orang kita tidak suka berada di saf hadapan. Jika ada ruang hadapan yang kosong, biasanya orang yang berbetulan dengan ruang itu tidak akan melangkah ke depan, tetapi mempersilakan orang lain untuk mengisi ruang kosong itu. Ia merasakan tindakannya itu baik kerana mendahulukan orang lain. Sebenarnya, perbuatan itu adalah makruh. Sepatutnya apabila ada ruang kosong di saf hadapan kita, kitalah yang paling utama merebut ruang itu dari orang lain. 

Firman Allah (bermaksud);


"Maka berlumba-lumbalah kamu untuk melakukan kebaikan"                                   (Al-Baqarah : 148). 



Sabda Nabi s.a.w. 
"Jika kamu mengetahui besarnya pahala yang ada di saf hadapan, nescaya kamu akan merebutnya sekalipun terpaksa mengundi (untuk mendapatkannya dari orang lain)"
                                                           (H.R Imam Muslim dari Abu Hurairah) 
Dalam kaedah Fiqh, ada dinyatakan; "Memberi keutamaan kepada orang lain dalam melakukan amalan-amalan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) hukumnya adalah makruh. Adapun dalam menerima pemberian, maka memberi keutamaan kepada orang lain adalah digalakkan". Kaedah Fiqh ini memberi pengertian; jika kita ada peluang untuk melakukan amalan kebaikan/kebajikan, rebutlah peluang itu dan jangan menyerahkannya kepada orang lain kerana kita yang amat memerlukan pahala dari amalan itu. Kita tidak mengetahui; apakah pahala yang kita ada sudah mencukupi atau tidak? Kerana itu, kita perlu merebutnya. 

Sebaliknya pula dalam menerima pemberian; kita digalakkan mengutamakan orang lain. Contohnya; ada orang datang membawa makanan untuk kita dan kawan-kawan bersama kita. Maka ketika itu, kita disunatkan mempelawa kawan-kawan kita untuk lebih dulu mengambilnya, kemudian barulah kita mengambilnya.

Wallahu a'lam.

Mandi-mandi yang di Sunatkan

Jumaat, 10 Mei 2013



Mandi sunat ialah mandi yang dikerjakan oleh seseorang untuk memperolehi pahala dan pujian dari Allah. Apabila ditinggalkan mandi sunat ini tidak menjadi masalah dan tidak dicela oleh Allah kepadanya. Mandi ini juga adalah mandi yang disunatkan dan solat dan ibadah lain tetap sah walaupun seseorang itu tidak melakukan mandi sunat ini.


1) Mandi Sunat Jumaat

Mandi sunat jumaat hanyalah disunat kepada mereka yang hendak mengerjakan solat jumaat, boleh juga mandi sunat ini bagi orang yang tidak wajib mengerjakan solat jumaat, seperti hamba sahaya, orang musafir, kanak-kanak dan orang-orang perempuan. Rasulullah SAW bersabda :

“Apabila seseorang kamu ingin menghadiri solat jumaat maka hendaklah ia mandi.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Masa Mandi

Waktu untuk mandi sunat jumaat ini adalah bermula dari terbitnya fajar Sidiq, walaupun begitu waktu yang paling afdal (baik) ialah mandi ketika hendak pergi ke masjid untuk menunaikan solat fardhu jumaat. Orang yang mandi setelah selesainya solat jumaat tidak dikira sebagai mandi sunat jumaat, kerana habisnya waktu mandi ini setelah selesainya solat jumaat.


2) Mandi Sunat Hari Raya

Disunatkan mandi ke atas seseorang itu sekalipun mereka tidak ingin menghadiri atau pergi ke masjid untuk solat hari raya, sekalipun orang-orang perempuan yang dalam haidh dan nifas, kerana kedua-dua hari raya itu adalah hari berhias dengan pakaian-pakaian yang cantik dan bau-bauan yang harum. Oleh itu sewajarnya pada hari raya setiap orang mestilah bersih badannya dari kekotoran dan bau yang busuk. 
Dari Ibnu Abbad ra berkata :

“Adalah Rasulullah SAW mandi pada hari raya fitrah dan hari raya korban.” (Ibnu Majah)

Masa Mandi

Waktu mandi sunat dua hari raya ini adalah dari waktu pertengahan malam sehinggalah terbenamnya matahari. Afdhal seseorang itu mandi sunat ini selepas terbitnya fajar.


3) Mandi Sunat Solat Istisqa (Minta Hujan)

Disunatkan mandi ke atas mereka yang hendak keluar (pergi) ke tempat sembahyang istisqa. Perkara ini adalah supaya hilang bau busuk yang ada di badan mereka itu. Mandi sunat ini ia mempunyai persamaan dengan mandi sunat jumaat, kerana ia mempunyai tujuan yang sama.

Masa Mandi

Masa mandi sunat solat istisqa ini adalah dari masa orang tersebut hendak solat sunat istisqa. Masa habis waktu mandi sunat ini adalah setelah selesainya solat sunat istisqa.


4) Mandi Selepas Memandikan Mayat

Adalah disunatkan bagi orang yang memandikan mayat agar dapat membersihkan dirinya dengan cara mandi sebaik sahaja selesai memandikan mayat. Rasulullah SAW bersabda :

“Sesiapa yang memandikan mayat maka hendaklah dia mandi.”
(Riwayat Ahmad)

Masa Mandi

Waktu mandi sunat selepas memandikan mayat ini adalah setelah selesainya mandi mayat.


5) Mandi Gerhana Matahari Dan Bulan

Disunatkan mandi ketika hendak mendirikan solat gerhana matahari dan gerhana bulan. Mandi ini diqiyaskan kepada mandi sunat hari jumaat kerana kedua-duanya mempunyai maksud yang sama.

Masa Mandi

Masa mandi sunat gerhana ini ialah dari mulanya berlaku gerhana matahari dan bulan. Habis waktu mandi gerhana ini apabila tamatnya berlaku gerhana.


6) Mandi Sunat Ihram

Mandi ketika hendak memakai ihram adalah diantara beberapa jenis mandi yang disunatkan, sama ada mereka itu ihram haji atau umrah atau kedua-duanya sekali. Ia disunatkan semua sama ada kanak-kanak atau orang yang telah baligh, lelaki atau perempuan. Dari Zaid Bin Thabit ra berkata :

“Dia pernah melihat Rasulullah SAW membuka pakaiannya ketika hendak berihram, lalu beliau mandi.” (Riwayat At-Tarmizi)

Masa Mandi

Bagi sesiapa yang ingin mandi sunat ihram ini ialah sebelum memakai ihram haji atau umrah.


7) Mandi Sunat Hendak Memasuki Kota Mekah

Bagi seseorang yang hendak memasuki Kota Mekah disunatkan mandi terlebih dahulu. Dari Ibnu Umar ra berkata :

“Dia tidak memasuki Kota Mekah kecuali bermalam di Zi Thuwa terlebih dahulu hingga waktu pagi. Setelah itu, barulah dia memasuki ke Kota Mekah pada siang harinya. Dia menyebutkan bahawa Nabi SAW pernah melakukan seperti itu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Masa Mandi

Masuk waktunya ialah daripada naik fajar dan afdhalnya kemudian daripada gelincirnya matahari.


8) Mandi Ketika Hendak Wuquf Di Arafah

Mandi kerana hendak wuquf di Arafah adalah diantara beberapa jenis mandi yang disunatkan. Dari Ibnu Umar ra berkata :

“Adalah Abdullah Bin Umar mengerjakan mandi untuk ihram sebelum dia melakukan ihram, untuk masuk Kota Mekah dan untuk wuqufnya pada petang harinya Arafah.” (Riwayat Malik)

Masa Mandi

Waktu untuk mengerjakan mandi sunat wuquf di Arafah ialah sebelum melakukan wuquf.

Kelebihan Solat Sunat Dhuha

Jumaat, 8 Februari 2013




Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bawahasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:

“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”(Riwayat Ahmad)


Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:

“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).

Sumber : islam2u.net

Pergerakan Yang Membatalkan Solat

Rabu, 6 Februari 2013



Tidak semua jenis pergerakan membatalkan solat, namun yang pasti adalah mengurangkan pergerakan yang tidak berkaitan dengan solat adalah cara terbaik bagi menyempurnakannya. Pun begitu, bagaimanakah erti pergerakan yang membatalkan solat di dalam mazhab Syafie? Artikel ini  akan menjelaskan dengan ringkas.

Tomakninah adalah salah satu rukun dalam solat menurut beberapa mazhab dan mazhab Syafie adalah antara yang berijtihad menyatakan solat boleh batal jika bergerak besar berturut-turut melebihi tiga kali gerakan. Ini berdasarkan dalil perlunya tomakninah. Tiada dalil khusus berkenaan hal ini kecuali dalil umum iaitu keperluan untuk menyempurnakan tomakninah yang disebut oleh Nabi S.A.W kepada seorang lelaki yang disuruh ulangi solatnya kerana tidak betul:



فَارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ ……ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا

Maksudnya: “ ulangi solatmu dan solatlah sesungguhnya engkau belum menyempurnakan solatmu……kemudian hendaklah kamu rukuk dan sehingga berhenti sekejap (tomakninah) dalam keadaan rukuk itu, dan kemudian bangun dan berdiri tegak dan kemudian sujud sehingga berhenti sekejap (tomakninah) dalam keadaan sujud.”

(Riwayat al-Bukhari)

Tomakninah adalah rukun menurut tiga mazhab dan wajib dalam mazhab Hanafi. Hasil dari itu, penyempurnaan tomakninah dilihat tidak mampu disempurnakan kecuali dengan menahan diri dan pergerakan besar menurut mazhab Syafie.

Imam An-Nawawi menjelaskan penentuan sesuatu pergerakan itu ‘Besar’ atau ‘Kecil’ dalam empat bentuk pandangan mazhab seperti berikut:-

Pandangan Pertama

  • Kecil : Tidak sampai tempoh pergerakan itu satu raka’at. 
  • Besar : Jika melebihi, pastinya itu dikira besar dan membatalkan solat.

Pandangan Ke Dua 

  • Kecil : Setiap pergerakan yang tidak memerlukan dua belah tangan, seperti mengangkat serban, menyentuh untuk lantikan imam di hadapan, memegang kepala atau telinga, itu semua dianggap kecil. 
  • Besar: Jika pergerakan itu memerlukan dua belah tangan seperti mengikat serban, memakai seluar atau kain, itu semua dikira besar.

Pandangan Ke Tiga

  • Kecil : Pergerakan yang tidak membuat orang yang melihat bersangka si pelakunya di luar solat. 
  • Besar : Pergerakan yang menyebabkan orang melihat bersangka pelakunya di luar solat.

Pandangan Ke Empat

  • Kecil : Kembali kepada penentuan adat dan uruf setempat yang pada adatnya masyarakat anggapnya kecil. 
  • Besar : Juga berdasarkan adat. Imam An-Nawawi menyebut pandangan yang keempat ini yang paling sahih dan pandangan ulama Syafie yang teramai. Kata beliau

وهو الأصح وقول الأكثرين

Ertinya : ini yang paling sahih dan merupakan pendapat teramai.

Kemudian, Imam An-Nawawi jug menyimpulkan jika dua kali pergerakan besar ia masih tidak membatalkan solat, jika tidak berturut-turut, itu juga tidak membatalkan solat.



KESIMPULAN
Kesimpulannya, adalah disarankan agar memastikan tidak bergerak banyak sama ada besar atau kecil adalah sifat solat sempurna. Namun jika pergerakan kerana darurat yang diterima oleh Islam seperti mengelak bahaya, mengelak api dan sepertinya ia tidak membatalkan solat. Majoriti mazhab lain seperti Hanbali dan Hanafi tidak ada kaedah yang menyatakan pergerakan banyak akan membatalkan solat dan fatwa dan ijtihad mereka tentunya tidak boleh diketepikan begitu sahaja, hasilnya saya suka menasihatkan agar mengelakkan khilaf, dan jika berlaku pegerakan yang banyak berturut-turut dan masih ada waktu untuk mengulangi solat, sebaiknya solat dianggap batal dan diulangi.

Sumber : zaharuddin.net

Khusyuk Dalam Solat

Rabu, 30 Januari 2013



IMAM AL-GHAZALI ada menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk sembahyangnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar.


Solat yang khusyuk ialah mereka yang sentiasa sedar dan mengikuti segala pengertian dari setiap kalimah yang di ucapkan di dalam solatnya. Justeru itu apabila ia membaca Fatihah, hatinya akan mengikuti dan memahami makna setiap kalimah yang terucap. Misalnya apabila mereka membaca ayat keempat dari Surah Al-Fatihah yang bermaksud:

"Tuhan yang memiliki hari Akhirat."

Maka tergambar segala kalut sibuk dan huru-hara manusia serta bersesak di padang Masyhar, ia akan terasa diri semakin kerdil dan lemah disisi Allah SWT.

Apabila membaca ayat kelima dari surah Al-Fatihah yang bermaksud :

"Engkaulah yang kusembah dan Engkaulah tempatku bermohon."



Bererti mereka telah memberikan kesetiaan dan pengabdian hanya kepada Allah, bukannya menjadi penyembah hawa nafsu atau yang lain-lainnya. Akhirnya mereka tidak ada keinginan untuk melakukan perkara keji dan mungkar, kerana melakukan perbuatan keji bererti mereka telah menjadi hamba nafsu, yang demikian adalah bercanggah dengan ucapannya yang mengaku bahawa dia hanya menyembah Allah SWT semata-mata.



Selepas itu mengamati lain-lain bacaan dalam sembahyang dengan khusyuk, yang mengandungi berbagai bacaan dan doa-doa yang memperlihatkan kebesaran Tuhan. Jika difahami sungguh-sungguh cukuplah kesemua itu akan menghakis sikap-sikap hodoh yang ada pada diri manusia itu.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya "



Firman Allah yang bermaksud :

"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya.


[Surah al-Ma'un : ayat 4-5]

Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud :


"Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat."


Hadis tersebut menjelaskan bahawa solat seseorang yang dalam keadaan lalai, sesungguhnya tidak mempunyai sebarang nilai kebaikan di sisi Allah SWT. Malah solatnya itu akan sekadar menjadi kayu pengukur, jika seseorang ingin tahu sekadar mana pahala yang di perolehi dan sebanyak mana pula yang kosong, maka selepas solat cubalah adakan muhasabah, sebanyak manakah masa yang dia berada dalam keadaan khusyuk, iaitu ingat segala perbuatan dan ucapan mereka dalam sembahyang itu, atau sebanyakmana pula yang lalai. Kalau banyak masa lalai maka setakat baki yang sedikit itu tidak payahlah untuk menunggu akhirat bagi melihat pahala solat itu, sebaliknya didunia ini pun kita sudah boleh mengagak apa yang kita perolehi dari solat yang tidak khusyuk itu.


Sesungguhnya solat itu tidak sama dengan ibadah yang lain.Jika dibandingkan dengan ibadah puasa, memang dalam ibadah puasa tidak ada khusyuk, tetapi puasa yang memenuhi segala syarat akan kelihatan kesannya dari puasanya itu. Disebabkan menahan lapar dan dahaga bukan sahaja mereka akan kelihatan letih dan kurang bermaya, tetapi juga mereka kelihatan sebagai seorang yang tinggi pekertinya, senantiasa menjaga perkara yang boleh membatalkan puasa dan juga pahala puasa seperti menjaga lidahnya dari mengumpat dan mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah.



Begitu juga zakat, walaupun ketika melakukan ibadah zakat itu tidak disertai dengan khusyuk namun maksud kepada penunaian zakat itu kelihatan juga. Menunaikan zakat dapat menghakis sifat bakhil seseorang. Orang-orang yang dikuasai oleh sifat bakhil tidak mungkin mampu menunaikan zakat.



Demikian juga dengan ibadah haji, walaupun ketika melakukan ibadah haji seseorang itu dalam keadaan lalai kerana ibadah haji melibatkan dua perkara iaitu tubuh badan dan harta benda. Sama ada menunaikan haji itu dalam keadaan lalai dan sebagainya, namun kesannya dari ibadah haji itu jelas ketara, kerana ia terpaksa membelanjakan wang beribu-ribu ringgit. Tubuh badan terasa letih dan wang ringgit habis.

Sebaliknya ibadah solat ini amat berbeza sekali dengan semua ibadah yang dinyatakan itu. Menurut Imam al-Ghazali bahawa solat itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila solat itu sebagai munajat sudah tentu dilakukan dengan penuh kesedaran di samping khusyuk dan tawadhuk. Bagaimana mungkin seorang yang lalai boleh berbisik atau berdialog dengan Allah SWT.

Orang yang mengerjakan solat dalam keadaan lalai sama keadaannya orang yang mengigau ketika tidur, walaupun mungkin ia menyebut Allahu Akbar dan juga lain-lain kalimah yang memuji keagungan Allah SWT, seperti bertasbih mensucikan Allah, bertahmid memuji Allah namun semua itu tidak termasuk lansung dalam pengertian munajat kepada Allah kerana sebenarnya orang itu sedang mengigau. Sesungguhnya orang mengigau itu adalah orang yang bertutur di luar kesedaran.

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seseorang itu akan diterima oleh Allah SWT. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah SWT, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah.

Segala puji-pujian yang ditujukan kepada Allah SWT bukan saja melalui ucapan lisan, tetapi juga dengan bahasa hati. Apabila hati lalai ia akan menjadi hijab yang menghalang seseorang itu untuk menghampiri Alah, meskipun Allah SWT menyatakan bahawa ia lebih hampir daripada saraf dan urat seseorang.

Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Ketahuilah dengan menyebut nama Allah itu dapat menenangkan hati.


[Ar-Ra'adu : 28]


Dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain.

Wallahu a'lam..


Kesan Solat Ke Atas Individu

Sabtu, 19 Januari 2013


Solat merupakan suatu kefardhuan yang diwajibkan ke atas umat Islam yang mukallaf. Diantara kesan-kesan dalam individu yang melaksanakan solat seperti:

Disiplin
Disiplin ertinya "peraturan". Orang yang solat akan sentiasa mematuhi syarat, rukun dan sunat di dlam solat. Dia akan mendahului dan mengutamakan yang wajib dari yang sunat. Dengan itu , hidupnya akan teratur (terdisiplin). Solat juga mengatur agar kita sentiasa fokus dalam hidup (kiblat dan solat).

Kepatuhan
Solat mengajar kita tentang kepatuhan kepada Allah, kepada Rasul, kepada imam. Dalam solat jemaah, ada konsep kepatuhan yang jelas. Yakni tidak boleh terlalu tertinggal (dua rukun fi'li) daripada imam.

Kepimpinan & kepengikutan
Siapa yang menjadi pemimpin, perlu prihatin dengan keadaan orang yang dipimpin. Tidak boleh memberatkan solat dengan memanjangkan bacaan (jika ada orang tua, sakit dan ibu-ibu). Teguran terhadap imam mesti bersopan dan beradab dengan bahasa yang paling baik, yakni kalimah "subhanallah". Ertinya menegur mesti dengan niat kerana Allah. Imamyang ditegur pula hendaklah segera membaiki kesalahan itu. Jika tidak, makmun boleh mufarakah.

Penyucian dan kebersihan
Untuk solat mesti membersih dari hadas kecil dan besar serta najis. Kita berwuduk dengan membasuh hujung-hujung anggota. Pakaian, tempat sujud mestilah bersih dan suci. Bila berwuduk dosa kecil diampunkan. Hati kita mesti bersih daripada selain Allah.

Penjagaan dan ketepatan masa
Sentiasa mengawasi masuknya waktu. Tidak boleh lalai, hingga terluput waktu. Ada lima waktu solat yang dengan menjaganya akan terjagalah masa kita daripada perbuatan yang sia-sia

Kerjasama kumpulan dan perpaduan
Gerak serentak semasa menjadi makmum. Saf yang lurus, rapat antara bahu dan tumit adalah lambang perpaduan. Allah akan menyatukan orang yag benar-benr solat

Mengawal Diri
Orang yang solat sentiasa mengawal hati, pemikiran, perasaan dan anggotanya agar tidak membuat kerja selain yang menjadi rukun qauli, qalbi dan fi'li. Jika ada membuat gerakan besar tiga kali berturut, maka solatnya boleh terbatal. Jika fikiran da hatinya melayang maka ingatan, hubungan dan munajatnya dengan Allah akan terganggu. Jadi ia akan terus berusahauntk mengawal diri dalam solat dan di luar solatnya.

"..maka dirikanlan solat. Sesungguhnya solat itu suatu kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang mukmin." (An-Nisa : 103)

Langgan

Masukkan email anda untuk mendapatkan artikel daripada kami
terus ke email anda secara percuma




Sahabat Blog

 
Design by Chicablogger | Contact Us | Creative Commons
Cinta Pencipta © 2013 by Deen Media
^