Sabda Nabi Muhammad S.A.W
" Siapa yang Allah mahukan kebaikan padanya, nescaya Allah memberikan kefahaman agama kepadanya "

Enggan Berada di Saf Hadapan?

Rabu, 4 September 2013




"Memberi keutamaan kepada orang lain dalam melakukan amalan qurbah adalah makruh"


Satu fenomena yang selalu kita lihat di masjid-masjid, terutamanya hari jumaat; orang kita tidak suka berada di saf hadapan. Jika ada ruang hadapan yang kosong, biasanya orang yang berbetulan dengan ruang itu tidak akan melangkah ke depan, tetapi mempersilakan orang lain untuk mengisi ruang kosong itu. Ia merasakan tindakannya itu baik kerana mendahulukan orang lain. Sebenarnya, perbuatan itu adalah makruh. Sepatutnya apabila ada ruang kosong di saf hadapan kita, kitalah yang paling utama merebut ruang itu dari orang lain. 

Firman Allah (bermaksud);


"Maka berlumba-lumbalah kamu untuk melakukan kebaikan"                                   (Al-Baqarah : 148). 



Sabda Nabi s.a.w. 
"Jika kamu mengetahui besarnya pahala yang ada di saf hadapan, nescaya kamu akan merebutnya sekalipun terpaksa mengundi (untuk mendapatkannya dari orang lain)"
                                                           (H.R Imam Muslim dari Abu Hurairah) 
Dalam kaedah Fiqh, ada dinyatakan; "Memberi keutamaan kepada orang lain dalam melakukan amalan-amalan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) hukumnya adalah makruh. Adapun dalam menerima pemberian, maka memberi keutamaan kepada orang lain adalah digalakkan". Kaedah Fiqh ini memberi pengertian; jika kita ada peluang untuk melakukan amalan kebaikan/kebajikan, rebutlah peluang itu dan jangan menyerahkannya kepada orang lain kerana kita yang amat memerlukan pahala dari amalan itu. Kita tidak mengetahui; apakah pahala yang kita ada sudah mencukupi atau tidak? Kerana itu, kita perlu merebutnya. 

Sebaliknya pula dalam menerima pemberian; kita digalakkan mengutamakan orang lain. Contohnya; ada orang datang membawa makanan untuk kita dan kawan-kawan bersama kita. Maka ketika itu, kita disunatkan mempelawa kawan-kawan kita untuk lebih dulu mengambilnya, kemudian barulah kita mengambilnya.

Wallahu a'lam.

Orang Beriman itu Bersaudara

Rabu, 28 Ogos 2013



"Paling kuat tali hubungan keimanan ialah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah."  (H.R Ath Thabrani)

Kehidupan di dunia ini ibarat suatu bangunan mengukuhkan antara satu sama lain. Umat Islam diseru supaya sentiasa bersatu dengan berpegang kepada tali Allah SWT iaitu dengan takwa dan keimanan yang kukuh. Tanpa kekuatan iman dan perpaduan yang kuat, umat Islam dengan mudah akan dikalahkan oleh musuh-musuh Islam.

Sikap benci-membenci dan juga berpecah-belah ini bukan sahaja melemahkan kekuatan ummah malah boleh menghancurkan perpaduan dan kekuatan Islam. Perpaduan dan kekuatan ummah ini mestilah dibina daripada keluarga yang bahagia, masyarakat yang sejahtera dan negara yang aman serta makmur.

Rasulullah SAW melarang beberapa sikap yang boleh membawa permusuhan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Sikap tersebut ialah dengki, menipu, benci-membenci, bermusuhan, menjual atas jualan orang lain dan menghina sesama Islam.

Malah adalah haram bagi seseorang Islam menjatuhkan maruah atau kehormatan saudaranya kerana perbuatan tersebut membawa keburukan kepada individu dan masyarakat Islam seluruhnya.


Berkaitan hal ini, sabda Nabi SAW yang bermaksud:


"Berwaspada terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu." (H.R Abu Daud).

Islam turut melarang umatnya berpaling muka antara satu sama yang lain. Orang yang berpaling muka hidup mementingkan diri sendiri, tidak bertegur sapa, megah diri dan tidak menghiraukan orang lain sangat dibenci oleh Islam.

Perbuatan menipu dilarang kerana bersikap tidak jujur dalam menjalankan muamalat, sama ada melalui tutur kata atau tingkah laku. Perbuatan ini hanya bertujuan untuk menyusahkan orang lain. Sikap menipu juga akan menyebabkan orang lain menjauhkan diri dengan si penipu.

Jual beli di atas jualan orang lain dilarang kerana ia membatalkan suatu jualan atau pembelian orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Jual beli cara ini mengambil kesempatan dengan menawarkan harga yang lebih murah kepada pembeli yang sedang berurusan dengan penjual yang lain.

Orang Islam adalah bersaudara. Setiap orang mempunyai hak dan kewajipan terhadap saudaranya yang lain. Ini kerana setiap Muslim tidak boleh dizalimi, didustai, dihina dan sebagainya.

Oleh itu, sifat kasih sayang mesti dipelihara bagi mewujudkan ikatan persaudaraan yang teguh dalam kalangan orang Islam.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah, semoga kamu mendapat rahmat-Nya. Peringatan ini seharusnya dijadikan pedoman dan panduan dalam kehidupan kita.




Sumber : Utusan

Kronologi Peristiwa Israk & Mikraj

Khamis, 6 Jun 2013


Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam,

Dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S.A.W setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.


Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

  • Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
  • Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah
  • Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A. S. dilahirkan)

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :


1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail; Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.


Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Langit Pertama : Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Langit Kedua : Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

Langit Ketiga : Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S. 

Langit Keempat : Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

Langit Kelima : Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Langit Keenam : Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Langit Ketujuh : Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W , Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". 

Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).


Tangga Kelapan : Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.


Tangga Kesembilan : Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Tangga Kesepuluh : Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:


Allah S.W.T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. 

Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S.W.T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. 

Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S kemudian Nabi Musa A.S yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.


Selepas Mikraj


Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.



Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.


Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda S.A.W

Firman Allah S.W.T ,

"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
( Al-Israa' : 1)

Mandi-mandi yang di Sunatkan

Jumaat, 10 Mei 2013



Mandi sunat ialah mandi yang dikerjakan oleh seseorang untuk memperolehi pahala dan pujian dari Allah. Apabila ditinggalkan mandi sunat ini tidak menjadi masalah dan tidak dicela oleh Allah kepadanya. Mandi ini juga adalah mandi yang disunatkan dan solat dan ibadah lain tetap sah walaupun seseorang itu tidak melakukan mandi sunat ini.


1) Mandi Sunat Jumaat

Mandi sunat jumaat hanyalah disunat kepada mereka yang hendak mengerjakan solat jumaat, boleh juga mandi sunat ini bagi orang yang tidak wajib mengerjakan solat jumaat, seperti hamba sahaya, orang musafir, kanak-kanak dan orang-orang perempuan. Rasulullah SAW bersabda :

“Apabila seseorang kamu ingin menghadiri solat jumaat maka hendaklah ia mandi.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Masa Mandi

Waktu untuk mandi sunat jumaat ini adalah bermula dari terbitnya fajar Sidiq, walaupun begitu waktu yang paling afdal (baik) ialah mandi ketika hendak pergi ke masjid untuk menunaikan solat fardhu jumaat. Orang yang mandi setelah selesainya solat jumaat tidak dikira sebagai mandi sunat jumaat, kerana habisnya waktu mandi ini setelah selesainya solat jumaat.


2) Mandi Sunat Hari Raya

Disunatkan mandi ke atas seseorang itu sekalipun mereka tidak ingin menghadiri atau pergi ke masjid untuk solat hari raya, sekalipun orang-orang perempuan yang dalam haidh dan nifas, kerana kedua-dua hari raya itu adalah hari berhias dengan pakaian-pakaian yang cantik dan bau-bauan yang harum. Oleh itu sewajarnya pada hari raya setiap orang mestilah bersih badannya dari kekotoran dan bau yang busuk. 
Dari Ibnu Abbad ra berkata :

“Adalah Rasulullah SAW mandi pada hari raya fitrah dan hari raya korban.” (Ibnu Majah)

Masa Mandi

Waktu mandi sunat dua hari raya ini adalah dari waktu pertengahan malam sehinggalah terbenamnya matahari. Afdhal seseorang itu mandi sunat ini selepas terbitnya fajar.


3) Mandi Sunat Solat Istisqa (Minta Hujan)

Disunatkan mandi ke atas mereka yang hendak keluar (pergi) ke tempat sembahyang istisqa. Perkara ini adalah supaya hilang bau busuk yang ada di badan mereka itu. Mandi sunat ini ia mempunyai persamaan dengan mandi sunat jumaat, kerana ia mempunyai tujuan yang sama.

Masa Mandi

Masa mandi sunat solat istisqa ini adalah dari masa orang tersebut hendak solat sunat istisqa. Masa habis waktu mandi sunat ini adalah setelah selesainya solat sunat istisqa.


4) Mandi Selepas Memandikan Mayat

Adalah disunatkan bagi orang yang memandikan mayat agar dapat membersihkan dirinya dengan cara mandi sebaik sahaja selesai memandikan mayat. Rasulullah SAW bersabda :

“Sesiapa yang memandikan mayat maka hendaklah dia mandi.”
(Riwayat Ahmad)

Masa Mandi

Waktu mandi sunat selepas memandikan mayat ini adalah setelah selesainya mandi mayat.


5) Mandi Gerhana Matahari Dan Bulan

Disunatkan mandi ketika hendak mendirikan solat gerhana matahari dan gerhana bulan. Mandi ini diqiyaskan kepada mandi sunat hari jumaat kerana kedua-duanya mempunyai maksud yang sama.

Masa Mandi

Masa mandi sunat gerhana ini ialah dari mulanya berlaku gerhana matahari dan bulan. Habis waktu mandi gerhana ini apabila tamatnya berlaku gerhana.


6) Mandi Sunat Ihram

Mandi ketika hendak memakai ihram adalah diantara beberapa jenis mandi yang disunatkan, sama ada mereka itu ihram haji atau umrah atau kedua-duanya sekali. Ia disunatkan semua sama ada kanak-kanak atau orang yang telah baligh, lelaki atau perempuan. Dari Zaid Bin Thabit ra berkata :

“Dia pernah melihat Rasulullah SAW membuka pakaiannya ketika hendak berihram, lalu beliau mandi.” (Riwayat At-Tarmizi)

Masa Mandi

Bagi sesiapa yang ingin mandi sunat ihram ini ialah sebelum memakai ihram haji atau umrah.


7) Mandi Sunat Hendak Memasuki Kota Mekah

Bagi seseorang yang hendak memasuki Kota Mekah disunatkan mandi terlebih dahulu. Dari Ibnu Umar ra berkata :

“Dia tidak memasuki Kota Mekah kecuali bermalam di Zi Thuwa terlebih dahulu hingga waktu pagi. Setelah itu, barulah dia memasuki ke Kota Mekah pada siang harinya. Dia menyebutkan bahawa Nabi SAW pernah melakukan seperti itu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Masa Mandi

Masuk waktunya ialah daripada naik fajar dan afdhalnya kemudian daripada gelincirnya matahari.


8) Mandi Ketika Hendak Wuquf Di Arafah

Mandi kerana hendak wuquf di Arafah adalah diantara beberapa jenis mandi yang disunatkan. Dari Ibnu Umar ra berkata :

“Adalah Abdullah Bin Umar mengerjakan mandi untuk ihram sebelum dia melakukan ihram, untuk masuk Kota Mekah dan untuk wuqufnya pada petang harinya Arafah.” (Riwayat Malik)

Masa Mandi

Waktu untuk mengerjakan mandi sunat wuquf di Arafah ialah sebelum melakukan wuquf.

Perihal Seorang Sahabat

Sabtu, 27 April 2013



Sahabat merupakan antara orang yang paling dekat dengan kita selain menjadi tempat kita berkongsi dan menceritakan permasalahan hidup dan sahabat juga menjadi penasihat dan pembimbing kita di kala kita kesempitan. Namun sahabat juga terkadang boleh menjadi racun dalam kehidupan kita jika kita salah memilih.

Mengekalkan persahabatan
Saling memberi kebebasan persahabatan memberi kita ruang untuk berkongsi suka duka bersama dan bukannya untuk saling menyakiti dan membenci di antara satu sama lain. Tetapi menjadi sahabat baik juga tidak bermakna kamu harus memiliki seluruh ruang hidupnya.

Misalnya, melarang temanmu membuat itu dan ini. Malah kamu juga sibuk mengatur perjalanan hidupnya. Ini jelas menunjukkan kamu terlalu mementingkan perasaan sendiri tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Apalah salahnya jika kamu saling menghormati hak kebebasan dirinya. Dan apa yang penting, si dia jujur pada persahabatannya.



Saling Menahan rasa Cemburu
Ramai yang berkata cemburu itu bunganya cinta. Tanpa cemburu persahabatan yang dibina tak adalah 'thrill'nya. Tetapi cemburu yang membabi buta boleh menjejaskan hubungan. Ada baiknya sebelum api cemburumu memuncak, cuba selidiki dahulu kebenarannya. Jika ada yang tak kena, tanyalah temanmu itu dengan baik tanpa bersikap marah dan menuduh.

Usahakan untuk berbicara dengan fikiran yang matang dan tenang. Sebenarnya perasaan cemburu ini tidak perlu terlalu ditonjolkan kerana ini boleh membuatkan temanmu itu naik tocang. Dia akan mempergunakan kelemahan kamu itu untuk membuat kamu berasa cemburu dengan berulang kali. Tentu menyakitkan...


Saling Memahami
untuk menjadi sahabat yang baik kamu harus berusaha memahami dan mengenali diri sendiri serta permasalahannya dengan lebih mendalam. Misalnya temanmu itu menolak ajakanmu untuk keluar menonton wayang bersama, kamu tidak boleh membuat tanggapan yang bukan-bukan tentang dirinya. Mungkin dia mempunyai urusan yang mesti diselesaikan terlebih dahulu. Adalah lebih baik kamu mencari hiburan sendiri lagipun esok masih ada masa untuk kamu bertemu si dia.


Saling Mengalah
Demi menyelamatkan hubungan, tidak ada ruginya sekali sekala kamu bersikap mengalah. Kamu dan si dia sering bercanggah pendapat. Seperti menonton wayang, kamu sukakan filem romantik tetapi dia pula suka filem aksi. Oleh kerana sayangkan tali persahabatan yang telah terbina sekian lama maka si dia sentiasa menuruti segala kemahuanmu semata-mata mahu menjaga hati dan perasaanmu. Tetapi bila difikirkan semula, apalah salahnya sekali sekala kamu pula yang beralah dan cuba belajar memahami minatnya. Situasi ini tentu akan membuat si dia berasa bahagia dan lebih menyayangi dirimu.


Saling Memberi Kemaafan

Memaafkan perlu tetapi tidak mudah selagi perasaan kesal dan kecewa menguasai diri. Tetapi sebagai insan biasa, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Lagipun, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula kita sesama sendiri. Belajar menjadi seorang teman yang sudi memberi kemaafan kepada orang lain biarpun kamu sendiri tahu perkara itu bukanlah berpunca dari kesalahan atau kesilapan dirimu.


Cara-Cara memilih Sahabat
Nasihat yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:
1. Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.
2. Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalauia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).
3. Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.
4. Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.
5. Sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang beratdia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan ersama-sama sahabat yang mulia.


Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara , 

"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."

Sumber : ibnufariz

6 Soalan Imam Ghazali Kepada Muridnya

Ahad, 7 April 2013

Gambar hiasan 

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al-Ghazali bertanya...


Pertama : "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya.

Imam Al-Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.



"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." ( Surah Ali Imran 185 )

Kedua : Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu

Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "masa lalu". Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak bisa kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.


Ketiga : Lalu Imam Al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. "Apa yang paling besar di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "nafsu".

Justeru nafsu yang menguasai diri , menyebabkan manusia gagal menggunakan aqal , mata , telinga dan hati yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. untuk hidup berlandaskan kebenaran . Fenomena ini menyebabkan mereka terjerumus ke dalam Api neraka Jahanam .

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai."
( Surah Al A'araaf 179 )

Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka .


Keempat : Pertanyaan keempat adalah, "Apa yang paling berat di dunia ini?" 

Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Al-Ghazali, tapi yang paling berat adalah "memegang amanah".

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." ( Surah Al Ahzaab 72 )

Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak boleh memegang amanahnya.


Kelima : Pertanyaan yang kelima adalah, "Apa yang paling ringan di dunia ini?"

Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Al-Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah "meninggalkan solat". Gara-gara pekerjaan, kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.


Keenam : Lantas pertanyaan ke enam adalah, "Apakah yang paling tajam di dunia ini?"

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang... Benar kata Imam Al-Ghazali, tapi yang paling tajam adalah "lidah manusia". Kerana melalui lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

sumber : murabbi.net

Tujuh Cara Menyucikan Hati

Ahad, 24 Mac 2013


Suatu ketika seorang sufi (ahli ibadah) bernama Hatim al-Asham diminta penjelasan oleh Ashim bin Yusuf selepas tamat pengajian majlis ilmu yang diikutinya. Ashim ialah seorang ahli fiqih yang melihat segalanya daripada kaca mata syariah.

Ashim bertanya kepada Hatim: "Ya Syaikh, bagaimanakah cara kamu melaksanakan solat?"

Hatim sebagai ahli tarekat dan syariat menjawab: "Ketika masuk waktu solat aku berwuduk dengan dua wuduk iaitu wuduk lahir dan wuduk batin. Wuduk lahir itu syariat dan wuduk batin pula adalah hakikat."


Ashim sebagai orang yang banyak memberi tumpuan pada fiqih agak terkejut. Melihat keadaan itu, lantas Hatim segera menerangkan bahawa: "Wuduk lahir dilakukan dengan membersihkan anggota badan menggunakan air. Manakala wuduk batin pula, kita haruslah mencuci hati dengan tujuh hal iaitu:


1. Hati dicuci dengan rasa penyesalan (an-nadamah) - menyesal daripada pelbagai kesalahan dan kerana meninggalkan kebaikan. Sayyidina Umar bin Khattab r.a memiliki kebun kurma di Madinah. Pohon-pohon kurmanya berbuah dengan kualiti yang baik sekali. Alangkah bahagiannya hati Umar memiliki kebun tersebut. Beliau seringkali berjalan mengelilingi dan memeriksa hasil perkebunannya. Di dalam kebun itu juga terdapat satu sumber air.

Suatu hari, ketika Umar pulang dari kebunnya, beliau berjumpa dengan para sahabat lalu berjalan bersamanya. Umar bertanya: "Dari manakah kalian?" Jawab para sahabat: "Kami baru pulang daripada berjemaah Asar."

Dengan segera Umar berucap "Inna lilahi wa inna ilaihi rojiun. Jadi kalian tadi habis jemaah Asar? Masya-Allah, saksikanlah para sahabat. Aku ketinggalan berjemaah kerana kebun kurma ini. Maka kebun ini aku wakafkan kepada fakir miskin."

Inilah contoh yang harus kita teladani dalam hal penyesalan meninggalkan satu ibadah kebaikan. Bacaan taroji': Inna lilahi wa inna ilaihi rojiun merupakan ungkapan ketika seseorang yang berhadapan dengan cubaan dan musibah. Jadi suburnya kebun dan sumber air bagi Umar tidak lain hanyalah cubaan yang menimpa dirinya. Dan kalimat ini juga menunjukkan betapa penyesalan luar biasa daripada beliau akibat ketinggalan solat Asar berjemaah.


2. Hati harus dicuci dengan taubat (taubat nasuha) - iaitu dengan bersungguh-sungguh dan bertekad tidak akan mengulanginya. Jika perlu taubat itu disertai dengan puasa tiga hari sebagai bukti kesungguhan, selain membiasakan solat malam.


3. Hati harus dicuci dengan meninggalkan cinta dunia - Cinta dunia mengakibatkan perbuatan yang salah seperti menipu, curang, rasuah dan sebagainya.


4. Hati dicuci dengan menjauhkan diri daripada sukakan kekuasaan (hubbur riyasah). Sesungguhnya kekuasaan sering menyibukkan manusia dan memalingkannya daripada Allah Yang Maha Kuasa.


5. Hati harus dicuci dengan meninggalkan perasaan suka dipuji (hubbul mahmadah). Pujian seringkali menenggelamkan manusia dalam sifat keAkuan yang mengakibatkan kesombongan yang luar biasa.


6. Baiknya hati dicuci daripada dendam. Meninggalkan dan melupakan dendam kesumat secara automatik akan memberikan kepada seseorang itu ketabahan dan kesabaran menghadapi cubaan dan rasa sakit daripada orang lain.


7. Baiknya hati dicuci dengan meninggalkan hasad dengki yang sudah pastinya sangat berbahaya. Bahaya hasad adalah seperti bahayanya api yang dengan cepat membakar kayu.

Kemudian Hatim menceritakan pula bagaimana cara beliau melaksanakan solat dengan kata-katanya: "Ketika memulakan solat, aku merasa Kaabah di depanku, syurga di kananku, neraka di kiriku, siratal mustaqim di telapak kakiku, dan Izrail telah menunggu di belakangku yang siap sedia mencabut nyawa."

Inilah yang dikatakan Qashrul amal (pendek angan-angan) iaitu semangat yang mampu mendorong untuk meningkatkan kualiti beribadat.

sumber : utusan.com

Ciri-ciri Isteri Dambaan Suami

Sabtu, 2 Mac 2013



Sebenarnya menjadi seorang isteri lebih mudah untuk mendapatkan keredhaan dan ganjaran di sisi Allah sekiranya seorang perempuan yang berstatus isteri benar-benar menjalankan tanggungjawab dan peranannya dalam keluarga. Menjadi isteri solehah menuntut waktu kerja 24 jam sehari dan 7 hari seminggu.

Mana mungkin tugas berat ini diletakkan pada bahu seorang suami. Oleh sebab itu sebagai isteri perlu tahu bagaimana cara untuk menjadi seorang wanita yang menjadi dambaan suami, kerana bidang tugas seorang isteri sebenarnya lebih besar berbanding lelaki walau isteri tidak mendapat kuasa veto dalam keluarga.

Ciri-ciri di bawah ini akan menjadikan anda wahai isteri-isteri, seorang yang bakal disayangi sepenuhnya oleh suami. Tetapi dengan syarat anda mesti cuba untuk menjadikannya kenyataan.



1. Isteri yang cerdik

Dengan erti kata bukan cerdik dari sudut akademik. Gulungan ijazah bukanlah kejayaan yang perlu anda tonjolkan untuk menjadi isteri dambaan suami. Isteri yang cerdik akan benar-benar mengenali siapakah suaminya, tahu bagaimana mengambil hati suami di waktu sedih, pandai

mengangkat suami di pandangan orang lain, tidak hanya merajuk untuk mendapat perhatian dari suami. Wahai isteri-isteri anda sebenarnya mampu lakukan ini!

2.’Assistant’ dalam pengurusan kewangan keluarga

Jangan menjadi seorang isteri yang hobinya suka shopping. Anda sebenarnya mula memeningkan suami. Lebih-lebih lagi bajet kewangan suami anda adalah di luar kemampuannya. Sebagai seorang isteri andalah yang menjadi pembantu dalam perancangan ekonomi keluarga. Anda mungkin membantu jika anda juga bekerja. Tetapi bagaimana jika anda suri rumah sepenuh masa? Jika anda tidak berkemampuan untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga, biarlah sekurang-kurangnya anda menjadi pengurus yang bijak terhadap bajet bulanan yang diberikan oleh suami anda.

3. Manager dalam segala hal

Suami diberikan kuasa untuk memimpin kerana suami lebih rasional dalam membuat keputusan. Tetapi tidak dapat menguruskan semua perkara tanpa adanya isteri. Maka andalah wahai isteri-isteri yang perlu menjadi ‘manager’. Makan pakai suami, anak-anak, kebersihan rumah, perbelanjaan rumah dan perkara-perkara kecil yang diperlukan dalam kehidupan berkeluarga tidak akan dapat diuruskan tanpa bantuan isteri. Anda perlu mula memahami hakikat ini kerana sekiranya anda mampu menguruskan semuanya dengan cekap dan baik maka sudah pasti apabila suami anda pulang dari bekerja, beliau akan memberikan senyuman yang sempurna kerana menghargai anda.

4. Selalu di belakang suami

Ramai isteri mengharapkan suami berada selalu di samping mereka. Tetapi mereka terlupa bahawa ramai suami lari dari isteri kerana isteri mereka tidak pernah berada di belakang mereka. Seorang isteri perlu menjadi penenang kepada suami, berikan suami kata-kata semangat dan pelukan di saat emosi mereka jatuh. Sekiranya anda mampu berbuat demikian, percayalah bahawa tidak akan ada wanita lain di mata suami anda. Berikan sokongan dan galakan walaupun mungkin ada perbezaan pada minat dan hobi anda berdua.

5. Menjaga perut suami dan anak-anak

Yang ini seharusnya seorang isteri tidak dapat tidak mesti tahu memasak. Bahkan kalau mahukan kasih sayang lebih dari suami kena tahu apa masakan kegemaran suami. Walaupun mungkin masakan anda tidak sehebat masakan chef, tetapi hakikatnya suami tetap mahukan air tangan isterinya dalam menyediakan makanan. Tangan seorang isteri sudah tentu bukan sahaja menyediakan yang terbaik dalam menu untuk keluarganya, tetapi juga sudah pasti isteri yang hebat akan berdoa untuk setiap usaha menyediakan makan minum suaminya.

6. Pandai jaga diri

Isteri perlu pandai jaga diri dan famili. Maklumlah mungkin ada ketikanya suami ‘out station’ kerana berkursus atau atas urusan kerja yang lain. Maka sudah tentu isteri yang pandai jaga diri dan famili akan memberikan kelegaan di hati suami.

7. Perunding imej

Kalau suami anda nampak hensem di pejabat, sebenarnya isterilah yang mendapat pujian. Terutama di pandangan mata orang-orang tua. Sebab itu isteri perlu tahu menjaga imej suami. Bila digelar sebagai perunding imej suami, maka isteri juga perlu lebih-lebih lagi pandai mengurus imej diri. Jangan hanya nampak cantik ketika berada di luar rumah, sedangkan ketika di rumah baju T-shirt dan kain batik menjadi pakaian utama. Cuba ubah situasi ini jika anda ingin menjadi isteri dambaan suami anda.

8. Menjaga keluarga mertua

Tidak dapat tidak untuk menjadi isteri dambaan suami, jangan hanya menyayangi suami anda akan akan bahagia. Anda perlu menjaga hati semua ahli keluarga sebelah suami anda. Percayalah anda benar-benar menjadi dambaan suami apabila anda mengambil berat tentang sakit demam mertua anda. Anda menjaga mertua anda seperti ibu kandung sendiri. Kerana itu semua akan membuatkan suami anda rasa dihargai dan menerima dirinya dan keluarganya.






















sumber : pakarcinta.com

Hukum Makan Ulat Mulong

Isnin, 25 Februari 2013



Soalan

Adakah haiwan seperti kanggaru, ulat mulong (ulat sagu) , badak air dan keldai boleh dimakan? Adakah dubuk dan anjing laut itu najis?




Jawapan 

Kanggaru halal dimakan. Tentang ulat mulong pula, dalam mazhab Syafie menjelaskan, segala jenis ulat dihukumkan haram kecuali ulat yang terwujud dalam cuka atau buah-buahan yang sukar hendak dibezakan apatah lagi untuk dibuang. Lebih tepat, ia diistilahkan termakan bersama-sama cuka atau buah-buahan tersebut.

Jadi, menjadi satu syarat iaitu ulat-ulat itu dimakan (tanpa disedari) bersama-sama buah tersebut kerana sukar hendak dibezakan dan dibuang.

Jika ulat-ulat tersebut boleh dipisahkan daripada buah-buahan, maka tetaplah hukumnya haram dimakan.

Perkara ini dibincangkan dalam kitab-kitab fiqh mu'tabar dalam mazhab seperti Minhajuth Tholibin halaman 130 dan 132 serta syarahnya pada Tuhfatul Muhtaj (juzuk 9, halaman 369 dan 445).

Begitu juga dengan pendapat Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, ulama pengarang kitab Sabilal Muhtadin (juzuk 1, halaman 38) dengan jelas menyatakan: Bahawasanya telah dinaskan oleh ulama, setiap ulat, dan jika ia suci pada ketika hidupnya sekalipun, adalah haram memakannya.

Berkenaan badak air pula, ia tidak boleh dimakan kerana ia merupakan hidupan dua alam iaitu air dan darat.

Adapun tentang keldai maka para ulama sepakat tentang halalnya keldai liar, kuda belang dan seladang. Nabi SAW telah dihadiahkan dengan keldai liar lalu baginda memakannya. (Riwayat al-Bukhari dari hadis Abi Qatadah).

Hujah Imam As Syafie berhubung dengan dubuk (hyena) ialah haiwan itu tiada taring, sebaliknya semua gigi haiwan itu sama tajam. Andai kata diterima bahawa ia memiliki taring, ia bukan dari kategori as-siba (haiwan pemangsa yang makan secara menerkam seperti singa dan harimau) yang disebut di dalam hadis.

Pendapat ini dipersetujui oleh Ibn al-Qayyim dan hadis dari Jabir. Beliau ditanya tentang dubuk: Adakah dubuk binatang buruan? Jawabnya: Ya. Beliau ditanya lagi: Adakah ini disabdakan oleh Nabi SAW? Jawabnya: Ya. (Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi dan disahihkannya serta an-Nasa-i dan Ibn Majah. Disahihkan juga oleh al-Hakim).

Dubuk bukanlah najis mengikut pendapat Imam Syafie. Berkaitan dengan anjing laut, ia tidak najis tetapi ia tidak pula halal dimakan kerana ia termasuk haiwan dua alam. Wallahu a'lam.

sumber : kosmo.com.my


Hukum Pinjaman & Pelaburan ASB

Jumaat, 22 Februari 2013



Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya ada kemusykilan mengenai pinjaman ASB yang terdapat dikebanyakan bank tempatan. Apakah hukumnya?



Jawapan



Soalan di atas menyentuh dua masalah hukum:

  1. Hukum pinjaman dari bank
  2. Hukum pelaburan ASB


Mengenai masalah pertama (pinjaman Bank), ia adalah harus jika pinjaman tersebut bebas dari riba. Untuk memastikannya, bagi orang awam mereka boleh bersandar kepada pengesahan Panel/Badan Syariah yang dilantik oleh Bank. Jika tidak ada pengesahan, ia hendaklah dirujuk kepada ulamak atau ustaz yang mahir tentang selok-belok muamalat bank. Bagi produk pinjaman yang kuhusus ditawarkan oleh bank tertentu, tidak memadai dengan hanya merujuk kepada fatwa umum tentang pinjaman, akan tetapi hendaklah merujuk kepada fatwa khusus tentang produk pinjaman terbabit.

Jadi, langkah mudah bagi orang awam ialah dengan meminjam dari Bank yang mempunyai Badan Syariah dan setiap produk pinjaman yang ditawarkan telah disahkan oleh Badan Syariahnya. Elakkan dari pinjaman yang tidak ada pengesahan dari mana-mana Badan Syariah atau ulamak berautoriti kerana ia berkemungkinan Haram atau Syubhah. Sabda Nabi S.A.W , 


"Tinggalkanlah apa yang meragukan kamu dengan melakukan apa yang tidak meragukan"
(HR Imam At-Tirmizi )



Persoalan kedua. Adakah pelaburan dalam ASB harus atau tidak mengikut hukum Syariat?. Para ulamak hari ini berbeza pandangan jumhur (majoriti) ulamak mengharamkannya dan terdapat sebahagian ulamak mengharuskannya. Badan-Badan Fatwa di Malaysia juga tidak sepakat dalam masalah ini. 

Antara yang mengharamkannya ialah:

  1. Majlis Fatwa Pulau Pinang
  2. Majlis Fatwa Selangor



Yang mengharuskannya pula:

  1. Majlis Fatwa Kedah
  2. Majlis Fatwa Trengganu
  3. Majlis Fatwa Perak
  4. Majlis Fatwa Serawak
  5. Majlis Fatwa Kebangsaan

Majlis Fatwa Kebangsaan dalam mesyuarat kali ke-80 (1 - 3 Februari 2008) telah memutuskan, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah HARUS

Apabila telah ada fatwa yang mengharuskannya dari Badan Fatwa yang berautoriti, haruslah bagi orang awam untuk berpegang dengan fatwa tersebut selama mereka meyakininya. Bagi yang meyakini keharamannya sama ada bersandar kepada kajian sendiri atau bersandar kepada fatwa yang mengharamkannya, haramlah ia menceburi pelaburan tersebut, namun tidak harus ia mentohmah orang yang menceburinya sebagai orang yang berdosa atau melakukan munkar kerana ada fatwa lain mengharuskannya. Berkata Imam Ibnu Rajab;

“Munkar yang wajib diingkari ialah yang telah diijmakkan oleh para ulamak atas munkarnya. Adapun perkara yang diikhtilafkan, tidak diingkari orang yang melakukannya sama ada dengan ijtihadnya atau dengan ia bertaklid kepada seorang mujtahid dengan taklid yang harus”
(Taghyir an-Munkar, al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali)

Namun jika sesiapa meninggalkannya dengan niat mengelak dari syubhah (kerana masih diikhtilafkan halal atau haramnya di kalangan ulamak) atau dengan niat lari dari khilaf ulamak, itulah tindakan yang terbaik merujuk kepada hadis Nabi S.A.W yang bermaksud

"Sesiapa menjaga diri dari perkara-perkara syubhah, ia sesungguhnya mengambil sikap yang dapat membebaskan agama dan kehormatan dirinya"
(H.R Al-Bukhari & Muslim). 

Para ulamak menegaskan; "Mengambil sikap untuk keluar dari khilaf adalah digalakkan".
Wallahu a'lam.

sumber : e-fatwa , Ustaz Ahmad Adnan

Langgan

Masukkan email anda untuk mendapatkan artikel daripada kami
terus ke email anda secara percuma




Sahabat Blog

 
Design by Chicablogger | Contact Us | Creative Commons
Cinta Pencipta © 2013 by Deen Media
^