Orang Beriman itu Bersaudara

Rabu, 28 Ogos 2013



"Paling kuat tali hubungan keimanan ialah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah."  (H.R Ath Thabrani)

Kehidupan di dunia ini ibarat suatu bangunan mengukuhkan antara satu sama lain. Umat Islam diseru supaya sentiasa bersatu dengan berpegang kepada tali Allah SWT iaitu dengan takwa dan keimanan yang kukuh. Tanpa kekuatan iman dan perpaduan yang kuat, umat Islam dengan mudah akan dikalahkan oleh musuh-musuh Islam.

Sikap benci-membenci dan juga berpecah-belah ini bukan sahaja melemahkan kekuatan ummah malah boleh menghancurkan perpaduan dan kekuatan Islam. Perpaduan dan kekuatan ummah ini mestilah dibina daripada keluarga yang bahagia, masyarakat yang sejahtera dan negara yang aman serta makmur.

Rasulullah SAW melarang beberapa sikap yang boleh membawa permusuhan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Sikap tersebut ialah dengki, menipu, benci-membenci, bermusuhan, menjual atas jualan orang lain dan menghina sesama Islam.

Malah adalah haram bagi seseorang Islam menjatuhkan maruah atau kehormatan saudaranya kerana perbuatan tersebut membawa keburukan kepada individu dan masyarakat Islam seluruhnya.


Berkaitan hal ini, sabda Nabi SAW yang bermaksud:


"Berwaspada terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu." (H.R Abu Daud).

Islam turut melarang umatnya berpaling muka antara satu sama yang lain. Orang yang berpaling muka hidup mementingkan diri sendiri, tidak bertegur sapa, megah diri dan tidak menghiraukan orang lain sangat dibenci oleh Islam.

Perbuatan menipu dilarang kerana bersikap tidak jujur dalam menjalankan muamalat, sama ada melalui tutur kata atau tingkah laku. Perbuatan ini hanya bertujuan untuk menyusahkan orang lain. Sikap menipu juga akan menyebabkan orang lain menjauhkan diri dengan si penipu.

Jual beli di atas jualan orang lain dilarang kerana ia membatalkan suatu jualan atau pembelian orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Jual beli cara ini mengambil kesempatan dengan menawarkan harga yang lebih murah kepada pembeli yang sedang berurusan dengan penjual yang lain.

Orang Islam adalah bersaudara. Setiap orang mempunyai hak dan kewajipan terhadap saudaranya yang lain. Ini kerana setiap Muslim tidak boleh dizalimi, didustai, dihina dan sebagainya.

Oleh itu, sifat kasih sayang mesti dipelihara bagi mewujudkan ikatan persaudaraan yang teguh dalam kalangan orang Islam.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah, semoga kamu mendapat rahmat-Nya. Peringatan ini seharusnya dijadikan pedoman dan panduan dalam kehidupan kita.




Sumber : Utusan

0 comments:

Catat Ulasan

Langgan

Masukkan email anda untuk mendapatkan artikel daripada kami
terus ke email anda secara percuma




Sahabat Blog

 
Design by Chicablogger | Contact Us | Creative Commons
Cinta Pencipta © 2013 by Deen Media
^