Sabda Nabi Muhammad S.A.W
" Siapa yang Allah mahukan kebaikan padanya, nescaya Allah memberikan kefahaman agama kepadanya "

5 Perkara Sebelum 5 Perkara

Khamis, 21 Februari 2013



Kawan-kawan, Ingatlah 5 Perkara Sebelum Datang 5 Perkara:


1. Sihat sebelum sakit
2. Muda sebelum tua
3. Kaya sebelum miskin
4. Lapang sebelum sempit
5. Hidup sebelum mati.

Penjelasan:

1. Sihat sebelum sakit – Lakukan sesuatu yang berfaedah dan mendatangkan kebaikan kepada diri anda dan orang-orang disekeliling anda semasa anda masih sihat.

2. Muda sebelum tua – Waktu anda muda inilah saatnya anda berusaha mencari kemewahan disamping tidak lupa kewajiban anda kepada Maha Pencipta, kelak bila anda tua anda tidak lagi memikirkan hal duniawi.

3. Kaya sebelum miskin – Waktu anda kaya berharta itulah anda boleh menolong orang yang lebih susah daripada anda kerana sedekah yang ikhlas akan jadi bekalan anda menghadapNYA.

4. Lapang sebelum sempit – Waktu anda masih ada kelapangan inilah waktu yang paling sesuai mendalami ilmu agama untuk pedoman anda.

5. Hidup sebelum mati – Sesungguhnya sewaktu hidup semua 4 perkara di atas boleh anda lakukan. Bila anda telah tiada hanya amal soleh, sedekah jariah dan doa anak yang soleh yang mengiringi anda.

Pedoman untuk kita semua.

Penghalang Dari Doa Diterima Allah

Ahad, 17 Februari 2013



Antara sifat seorang Mukmin sejati ialah sentiasa memohon dan meminta kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan dan bersungguh-sungguh. Doa adalah talian hayat dalam kehidupan seorang insan bernama hamba dengan Allah yang Maha Berkuasa.

Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia akan merasakan Allah SWT sentiasa dekat dengannya, mengawal dan memerhatikan segala tindakannya tanpa henti. Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia perlu yakin dan percaya bahawa doanya itu akan diperkenankan oleh Allah SWT.

Keyakinan ini berasaskan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: 
"Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina." 
(Al-Mukmin: 60)

Namun begitu, kita perlu berwaspada agar doa yang kita panjatkan kepada Allah SWT tidak terhalang daripada dimakbulkan. Ini adalah kerana, terdapat daripada kalangan orang beriman yang bukan sahaja tidak dimakbulkan, bahkan langsung tidak dipedulikan oleh Allah SWT. Antaranya ialah;

1) Menggunakan harta haram

Seseorang yang memperoleh pendapatan yang haram. Lalu menggunakannya untuk makan dan minum, membeli pakaian, rumah dan kenderaan. Ia akan menyebabkan doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT terhijab dan tidak diterima.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud: ...Seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. (H.R Muslim)

Dalam hadis tersebut Rasulullah SAW telah menggambarkan bagaimana doa seseorang itu boleh ditolak disebabkan harta yang haram.Walaupun dia telah menepati ciri-ciri doa yang makbul seperti bermusafir, tawaduk dan bersungguh-sungguh. Namun, tetap juga ditolak kerana tidak mempedulikan persoalan hartanya, sama ada daripada sumber yang halal atau yang haram.

Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam menentukan sumber pendapatan yang kita peroleh, sama ada haram secara zat (haram lizatihi) atau haram kerana sebab-sebab yang lain (haram lighairihi).

Haram lizatihi boleh terjadi apabila kita terlibat dalam kegiatan haram yang telah terkandung dalam al-Quran dan hadis secara langsung seperti; perniagaan minuman keras, perjudian dan maksiat. Manakala haram lighairihi pula yang melibatkan keharaman secara tidak langsung seperti riba, gharar dan sebagainya.

2) Gelojoh dan terburu-buru

Antara golongan yang ditolak doanya ialah mereka yang gelojoh dan terburu-buru ketika berdoa.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Dikabulkan doa seseorang daripada kalian selama ia tidak buru-buru, (di mana) ia berkata: Aku sudah berdoa namun belum dikabulkan doaku. "(H.R Al-Bukhari)

Yang dimaksudkan dengan demikian ialah mereka yang apabila berdoa, dia seolah-olah mendesak dan memaksa Allah SWT supaya memakbulkan doanya secepat mungkin. Justeru, dalam kita berdoa, kena banyakkan bersabar dan bersangka baik kepada Allah SWT.

Mungkin doa kita sudah dimakbulkan, tetapi menunggu masa untuk dijadikan sebagai realiti. Semuanya mengikut keputusan dan perancangan Allah dan ia adalah yang terbaik.

Lihatlah bagaimana Nabi Musa dan Nabi Harun as. berdoa tentang kekejaman Firaun. Doa mereka berdua dimakbulkan oleh Allah SWT. Namun, kerajaan Firaun tidak tumbang dalam masa sehari dua, bahkan memakan masa puluhan tahun selepas itu.

Demikian juga Nabi Yaakub as. yang tidak putus-putus berdoa kepada Allah SWT supaya dikembalikan anak Baginda iaitu Nabi Yusuf as. Doanya dimakbulkan, namun selepas puluhan tahun baru Baginda bertemu semula dengan Nabi Yusuf as.

3) Tidak bersungguh-sungguh dalam berdoa

Sebagaimana sekiranya kita meminta daripada manusia, kita juga perlu bersungguh-sungguh ketika berdoa dan memohon daripada Allah SWT. Tidak boleh berdoa secara sambil lewa atau acuh tak acuh seperti melepaskan batuk di tangga.

Sabda Nabi SAW: Apabila seseorang daripada kamu berdoa dan memohon kepada Allah SWT, janganlah dia mengucapkan: 
"Ya Allah, ampunilah dosaku jika Engkau kehendaki, sayangilah aku jika Engkau kehendaki, dan berilah rezeki jika engkau kehendaki". Akan tetapi, dia harus bersungguh-sungguh dalam berdoa. Sesungguhnya Allah berbuat menurut apa yang Dia kehendaki dan tidak ada yang memaksa-Nya.
(H.R Al-Bukhari)

4) Lalai dan tidak khusyuk

Kita perlu fokus dan betul-betul memberikan perhatian dengan penuh pengharapan. Setiap lafaz perkataan yang diungkapkan daripada mulut perlu keluar daripada hati yang tulus ikhlas. Ini menuntut supaya kita memahami isi kandungan doa yang dikemukakan.

Sabda Nabi SAW: "Berdoalah kepada Allah SWT dan kamu yakin akan dikabulkan. Ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengkabulkan doa orang yang hatinya lalai dan tidak khusyuk." (H.R At-Tirmidzi dan Al-Hakim).

5) Meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar

Allah SWT telah menjadikan amar makruf dan nahi mungkar sebagai satu syarat untuk kita menjadi umat yang terbaik. Firman Allah SWT yang bermaksud: 
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." 
(Al-Imran: 110)

Apabila kita meninggalkan kewajipan ini, maka akan berleluasalah maksiat dan penderhakaan di atas muka bumi. Apabila kita hanya melihat sahaja ma ksiat yang berlaku tanpa mengambil tindakan untuk membanterasnya, maka pada ketika itulah Allah SWT akan menurunkan bala dan tidak akan memakbulkan doa kita.

Nabi SAW bersabda: 
"Demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, hendaklah kalian menyuruh yang makruf dan mencegah kemungkaran atau (kalau tidak kalian lakukan) maka pasti Allah akan menurunkan seksaan kepada kalian, hingga kalian berdoa kepada-Nya, tetapi tidak dikabulkan."
 (H.R At-Tirmidzi dan Ahmad)


sumber : utusan.com

Fesyen Berlandaskan Syariat Islam

Khamis, 14 Februari 2013


Sabda Nabi S.A.W

”Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak” 
[Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr]


Hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa antara tujuan Nabi saw diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak umat manusia. Penyempurnaan akhlak ini adalah melalui contoh dan teladan mulia yang ditunjukkan oleh Baginda kepada umatnya atau disebut sebagai qudwah hasanah. Dalam hal ini Allah swt telah berfirman : “Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu peribadi yang mulia”. (al-Ahzab:21). Antara akhlak-akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw adalah dengan menjaga penampilan diri Baginda di hadapan khalayak ramai. Hal ini termasuklah bagaimana ‘fesyen baginda’ ketika berpakaian.

Adakah salah untuk kita berfesyen? Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya untuk mengenakan sesuatu fesyen sama ada dalam bentuk pakaian ataupun aksesori kecantikan. Sesungguhnya Allah menyukai hamba-hambaNya yang menjaga keterampilan diri dan kecantikan. Malah Allah swt menyukai sesuatu perkara yang cantik dan indah.

Daripada Abdullah Ibnu Masud ra beliau mendengar Rasulullah saw bersabda: 

“Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada sifat sombong walaupun seberat zarah”. Maka telah berkata seorang lelaki kepada Baginda:”Sesungguhnya seseorang individu itu suka jika pakaiannya baik dan kasutnya juga baik”. Balas Baginda saw, ”Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan. Sifat sombong meleyapkan kebenaran dan merupakan kehinaan kepada manusia”. 

[H.R Muslim]



Daripada hadith ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah saw tidak melarang seseorang manusia itu untuk memperagakan fesyen malah Baginda menerangkan bahawa Allah itu sifatNya cantik dan suka akan kecantikan. Namun Rasulullah saw melarang jika seseorang itu berfesyen dalam keadaan angkuh dan sombong kepada masyarakat sekelilingnya.



Walaupun kita diberikan kebebasan dalam memperagakan sesuatu fesyen, tidak bermakna kita boleh memakai apa sahaja pakaian tanpa perlu menghiraukan adab dan tata susila. Sesungguhnya Islam telah menggariskan beberapa panduan bagi seseorang muslim mahupun muslimah dalam berpakaian. Antara perkara yang perlu diambil perhatian dalam berfesyen ialah:



1) Memastikan pakaian tersebut menutup aurat.

Apakah itu aurat? Aurat berasal daripada perkataan arab yang bermaksud aib atau kekurangan pada sesuatu benda. Apabila menyebut mengenai aurat dalam berpakaian ialah kawasan anggota yang perlu dijaga dan ditutup oleh setiap orang Islam daripada dilihat oleh orang lain. Tujuan utama diwajibkan menutup aurat ke atas umat Islam adalah semata-mata untuk memelihara dirinya dan orang lain daripada perkara-perkara buruk yang menjerumuskan mereka ke dalam lembah dosa. Aurat bagi seseorang lelaki adalah di antara kawasan pusat dan lututnya. Manakala bagi seseorang wanita pula auratnya ketika bersama dengan bukan mahram adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan kedua pergelangan tangannya.


2) Tidak memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh 

Antara adab ketika berpakaian adalah memakai pakaian yang tidak ketat yang menampakkan bentuk tubuh si pemakai terutamanya kepada kaum wanita. Dalam hal ini Nabi SAW telah menyatakan sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya bahawa antara golongan yang akan diazab oleh Allah dalam api neraka adalah golongan perempuan yang disebut ‘Kaasiyat Aariyat’ iaitu wanita-wanita yang memakai pakaian dengan mendedahkan sebahagian bentuk tubuhnya. Salah seorang ulama’ terkenal iaitu Sheikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin ketika mengulas hadith ini beliau menyatakan bahawa yang dimaksudkan golongan ini antaranya perempuan yang menampakkan bentuk tubuh badan sama ada dengan pakaian yang ketat, jarang mahupun terdedah sebahagian daripada tubuh badannya yang telah dilarang oleh syariat Islam.

Bagi kaum lelaki juga mereka tidak digalakkan untuk memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh pada bahagian aurat mereka dan hukumnya adalah makruh sepertimana yang diterangkan oleh Imam al-Nawawi dalam karyanya al-Majmu’.


3) Tidak memakai pakaian atau aksesori yang menyerupai ciri-ciri budaya orang bukan Islam.

Sesungguhnya Islam melarang umatnya daripada terikut-ikut dengan budaya negatif masyarakat bukan Islam. Hal ini termasuklah ketika berpakaian dan memperagakan sesuatu fesyen. Nabi saw telah melarang kita daripada terikut-ikut dengan budaya luar yang kadang kala mampu menggugat akidah dan akhlak umat Islam terutamanya di kalangan para pemuda-pemudi. Dalam sebuah hadith Nabi saw pernah bersabda: ” Sesiapa yang terikut-ikut dengan gaya hidup sesuatu kaum maka dia termasuk dalam golongan tersebut” (Direkodkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi). Hadith ini melarang umat Islam daripada terikut-ikut dengan budaya luar yang bersifat negatif termasuklah dalam berpakaian.

Antara ikutan negatif yang berlaku seperti memakai pakaian yang mempunyai gambar salib, gambar-gambar yang tidak menutup aurat, bertindik pada anggota badan tertentu bagi kaum lelaki, melukis tatu dan lain-lain. Inilah realiti umat Islam akhir zaman sepertimana yang telah dinyatakan oleh Nabi saw : “Sesungguhnya kamu akan mengikuti gaya hidup masyarakat selepas kamu (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak sekali pun nescaya kamu akan memasukinya”. (Hadith muttafaq alaih).


4) Fesyen yang bertentangan dengan jantina si pemakai.

Sesungguhnya Islam melarang umatnya daripada menyerupai golongan yang berlainan jantina. Hal ini termasuklah dalam memperagakan fesyen. Hukum lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki adalah haram kerana ianya berlawanan dengan fitrah asal penciptaan seseorang manusia sama ada dalam tingkah laku dan juga pemakaian. Contohnya kaum lelaki tidak dibenarkan memakai pakaian yang menunjukkan ciri-ciri kaum wanita seperti memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera. Begitulah juga mereka ditegah daripada memperagakan tubuh badan mereka dengan aksesori wanita seperti rantai emas, pewarna bibir, pewarna kuku dan sebagainya. Nabi saw telah bersabda: “Sesungguhnya Allah swt melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki”. (Direkodkan oleh Abu Daud, al-Nasaie dan Ahmad).


5) Mengelakkan daripada fesyen-fesyen yang keterlaluan daripada adat kebiasaan masyarakat setempat.

Nabi saw menganjurkan kita supaya bersederhana dalam segala perkara termasuklah ketika memperagakan sesuatu fesyen. Kita perlu mengambil berat dalam memilih sesuatu fesyen yang ingin diketengahkan. Antara larangan Nabi saw dalam berpakaian ialah memakai pakaian yang disebut sebagai pakaian ‘syuhrah’ iaitu pakaian yang keterlaluan bentuk dan potongannya berbanding pakaian-pakaian kebiasaan. Hal ini adalah untuk mengelakkan daripada timbulnya perasaan sombong di dalam jiwa si pemakai. Nabi saw telah bersabda:

Sesiapa yang memakai pakaian ‘syuhrah’ di dunia maka Allah swt akan memakaikannya dengan pakaian yang hina pada hari akhirat”. 
(H.R Abu Daud & Ibnu Majah).

Kesimpulannya Islam tidak melarang seseorang itu untuk berfesyen namun perlulah mengikut sebagaimana yang telah digariskan oleh syariat Islam. Malah kita digalakkan untuk menghias diri kita secara kemas, cantik dan sederhana. Persoalan penting juga adalah bagaimanakah niat kita ketika berfesyen? Dan kita sewajibnya menghiaskan fesyen kita yang diharuskan syarak itu tadi dengan penuh rasa ketaqwaan sepertimana firman Allah swt : “Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik”.


Sumber : imamudasyraf.com


Isu Penggunaan Kalimah Allah

Rabu, 13 Februari 2013



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008 telah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah. Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Keterangan: 

1. Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah trinity. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga, tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal usul penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.

2. Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakal Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh,Elohim dan juga Yhwh.

3. Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.

4. Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

5. Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaanya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.

6. Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.

7. Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahwa semua agama adalah sama.

8. Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God ditejemahkan sebagai Allah.

9. Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa ini bagi menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam.

10. Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi factor utama adalah berasaskan akidah dan kesucian agama Islam.

11. Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.

1 February 2013 - 12:03am


Sumber : e-fatwa

Hukum Menyimpan Anak Patung

Selasa, 12 Februari 2013

Gambar hiasan.


Soalan


Assalamulaikum ustaz, saya ingin bertanya apakah hukum sebenar menyimpan anak patung. Sebab saya pernah dengar orang kata kalau nak simpan anak patung boleh tapi kena cacatkan anggotanya. Adakah itu benar ustaz...



Jawapan

Patung makhluk yang bernyawa , iaitu manusia dan haiwan. Menurut jumhur ulamak, haram dibuat dan haram juga memilikinya. Hukum haram ini berdalilkan hadis-hadis yang melarang peniruan terhadap makhluk-makhluk bernyawa sama ada melalui lukisan, patung atau sebagainya. Antaranya sabda Nabi yang bermaksud : 

“Semua orang yang membuat peniruan adalah dalam neraka. Di akhirat nanti makhluk yang ditirunya akan dijelmakan menjadi satu jiwa yang akan mengazabnya di dalam neraka. Jika kamu perlu melakukannya, buatlah peniruan terhadap pokok atau benda yang tidak bernyawa”
(H.R Imam al-Bukhari & Muslim dari Ibnu ‘Abbas R.A).


Dikecualikan dari pengharaman patung makhluk bernyawa di atas, patung-patung yang mempunyai ciri berikut:

  • Patung yang dibuat untuk mainan kanak-kanak
  • Patung yang tidak dimuliakan iaitu yang diletakkan di atas tanah tanpa sebarang kebesaran. Adapun patung yang digantung didinding atau dijadikan perhiasan di atas meja dan sebagainya, diharamkan.
  • Patung yang tidak sempurna jasadnya iaitu terpotong anggotanya di mana bagi haiwan hidup dengan ketiadaan anggota itu ia tidak dapat hidup seperti patung yang tiada kepala, patung setakat dada atau seumpamanya.
  • Patung yang tidak kekal seperti patung dari coklat, tepung, ukiran dari buah atau seumpamanya.

Terdapat segolongan ulamak hanya mengharamkan patung yang dibuat untuk sembahan sahaja, iaitu patung-patung berhala. Adapun patung-patung yang lain, tidaklah diharamkan. Pandangan ini dinaqalkan oleh Imam an-Nuhhas, Makki bin Abi Thalib dan Ibnu al-Furs.

Wallahu a’lam.



7 Golongan Pencari Ilmu Allah

Isnin, 11 Februari 2013



Sabda Rasulullah S.A.W , maksudnya : 


"Sesiapa yang menuntut ilmu dengan maksud untuk bersaing dengan para ulama atau untuk mujadalah dengan orang orang yang jahil atau untuk mengambil perhatian manusia, ia akan masuk neraka. Dan barang siapa yang bertambah ilmunya tetapi tidak bertambah amalannya dia akan bertambah jauh dari Allah."



Ilmu dari seorang guru. Katanya dalam umat Islam ada 7 golongan manusia dalam menuntut ilmu:


1. Orang yang menuntut dan mencari ilmu kerana ilmu semata mata.Dia seronok, mabuk dan asyik dengan ilmu.Mabuk ilmu hingga yang ada tidak mahu kahwin kahwin, kerana katanya belum puas belajar.Ini adalah golongan yang mabuk ilmu.

2. Orang yang mencari ilmu kerana bercita hendak dapat jawatan tinggi saperti mufti dan bergaji besar.Dengan ilmu juga dia boleh berniaga dan jadi kaya dan mendapat banyak harta.Ini lah golongan yang menggunakan ilmu untuk meraih kekayaan.


3. Ada orang mencari ilmu kerana bercita cita menjadi pemimpin.Seorang yang jadi pemimpin mesti berilmu.Ini adalah golongan yang menggunakan ilmu untuk menjadi pemimpin.


4. Ada juga orang yang mencari ilmu kerana hendak kan glamour.Agar orang kata dia intelek.Inilah golongan ahli ilmu yang tujuan nya hendak dapat nama.


5. Ada orang belajar ilmu kerana hendak keluar daripada kejahilan dan kebodohan.Agar dia tidak di pandang hina.Inilah golongan yang mendapatkan ilmu supaya diri tidak terhina.


6. Ada orang menuntut ilmu kerana ingin membangun dan maju demi kedaulatan dan kemegahan bangsa dan negara.Agar jangan bangsa nya mundur dan terhina.Ini lah golongan ilmuan yang berfahaman nasionalisme.


7. Ada orang yang menuntut ilmu kerana perintah Allah.Juga dengan tujuan agar dapat amal ilmu supaya boleh mengabdikan dan mendekatkan diri kepada Allah.Golongan ini menggunakan ilmu untuk membangunkan Islam dalam berbagai bagai aspek saperti ekonomi, pertanian, bangunan, sekolah, jalan raya, pembangunan insan dan lain lain.Ini adalah dengan tujuan agar dapat melindungi iman, memperkuatkan syariat, membesarkan syiar Islam dan mendaulatkan hukum hukum Tuhan.Ini lah dia golongan ilmuan yang bertaqwa.


Kita umat Islam dalam menuntut Ilmu biarlah menjadi golongan yang ke 7, yang mencari ilmu kerana Allah Taala. Kalau belajar bukan kerana Allah maka rugi lah, kerana mungkin untung di dunia tetapi rugi di akhirat saperti yang di nyatakan dalam Hadis di awal artikel.

Wal'iyazubillah

Antara Sabar dan Mengeluh

Ahad, 10 Februari 2013



Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya. 


"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati." 
Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini." 

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?" 
Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?" 
Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?" 

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua." 

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?" 
Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka." 

Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi,:
" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya." 

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,:

"Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang." 
Dan sabdanya pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (H.R Imam Majah) 

Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.



Redha Allah atau Redha Manusia?

Sabtu, 9 Februari 2013



Sudah menjadi lumrah apabila manusia sentiasa hendak dilihat menarik dan menjaga adab mereka walau di mana mereka berada di hadapan orang sekeliling. Kalau boleh semuanya ingin nampak sempurna dan terbaik. Dari segala aspek hidup, manusia akan menjaga tingkah laku sebaik-baiknya demi menjaga nama baik dan maruah seperti di majlis keramaian, di pejabat, majlis berbentuk protokol.



Manusia mengaplikasikan peraturan yang dicipta manusia sendiri, tetapi malangnya manusia lalai dalam mengaplikasikan peraturan yang hakiki yang dicipta oleh Yang Hakiki iaitu Allah SWT. Manusia lupa bahawa mematuhi peraturan sebenarnya yang akan dihitung, ditimbang dan dinilai di akhirat kelak berdasarkan amalan dan tingkah laku sehari-hari adalah 'standard' yang. Dan 'standard' inilah yang perlu dijaga sebaik-baiknya.

Menjaga 'standard' di pejabat

Kebanyakan pekerja sememangnya menjaga nama baik, sama ada nama baik diri, kumpulan mahupun jabatan. Waktu rehat pejabat secara umumnya adalah pada pukul 1 petang hingga 2 petang bagi pekerja awam dan swasta. Kebanyakan pekerja yang sentiasa mengikut peraturan akan keluar rehat pada pukul 1 tepat untuk melepak bersama kawan-kawan dan berborak sehingga hampir pukul 2 petang. Selepas itu, masuk semula ke pejabat pada pukul 2 petang, pekerja tersebut belum lagi solat walaupun waktu solat Zuhur sudah masuk.



'Eh.. dah pukul 2.00 lah. Aku naik pejabat dululah, tunjuk muka dulu, nanti turun ke surau untuk solat'.


Sampai begitu sekali kah kita menjaga 'standard' di hadapan manusia? Sehinggakan kita mengabaikan tahap 'standard' yang sepatutnya kita jaga di hadapan Allah.

Abdullah bin Mas'ud telah bertanya kepada Rasulullah SAW:

"Apakah amalan yg paling disukai Allah SWT?" Sabda Rasulullah SAW: "Solat dengan menjaga waktunya.".

(Riwayat Bukhari, al-Jaami al-Sahih no.2782])

Astaghfirullahala'zim.. Kita sanggup melewat-lewatkan solat hanya kerana tidak sanggup mendengar orang mengata kita. Kita sanggup mengabaikan 'pertemuan dengan Kekasih' kita, mengutamakan pertemuan dengan manusia



Menjaga 'standard' di majlis keramaian

'Nanti aku nak beli baju baru berwarna merah dan hitam sebab konsep tema Makan Malam Tahunan kolej kita adalah warna hitam dan merah kan.."

'Alah..pakai sahaja baju yang kau ada, makan malam tu sekejap sahaja, jangan membazir..'

'Mana boleh, nanti orang akan pandang aku pelik dan mesti orang akan mengutuk aku sebab aku tak ikut tema'.

Betulkah fenomena seperti di atas selalu sahaja terjadi kepada kita? Astaghfirullahala'zim..

Selalu sahaja kita ingin mengejar peraturan yang dicipta manusia sendiri. Jika boleh, sebaik-baiknya kita hendak dilihat mengikut keseragaman dan sempurna di mata manusia. Tetapi kita lupa dan lalai bahawa Allah sudah menetapkan peraturan berpakaian yang sepatutnya bagi kaum Hawa dan Adam. Lantas, kita berlebih-lebihan, tidak menutup aurat dan menunjuk-nunjuk asbab ingin lebih mulia di sudut pandangan manusia.

Tidak salah hendak mengikut tema sesuatu majlis selagimana tidak lupa pada peraturan hakiki yang sebenar-benarnya. Namun, hakikatnya ramai manusia lebih memilih untuk menjaga 'standard' di hadapan manusia lain, sehingga tidak hairan lah ada yang lebih selesa berpakaian tidak menutup aurat sebaik-baiknya. Malah ada yang berpakaian tetapi singkat dan jarang. Hanya kerana tidak mahu dikatakan kolot dan tidak mengikut trend dan fesyen.

Kita berlumba-luma untuk kelihatan anggun dan cantik di hadapan manusia. Tetapi kita selekeh dan comot sekali di hadapan Allah. Tidak sedarkah kita?

Mu'awiyah bin Haidah mengatakan : "Aku pernah bertanya : Ya Rasulullah , bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?". Baginda menjawab :"Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba abdi milikmu". Aku bertanya lagi :" Ya Rasulullah , bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat? " Baginda menjawab : "Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak melihat auratmu". Aku masih bertanya lagi: " Ya Rasulullah, bagaimanakah kalau orang mandi sendirian?" Baginda menjawab : " Seharuslah ia lebih malu kepada Allah daripada malu kepada orang lain".

(Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).



Sesungguhnya kita hendak sahaja mengelakkan orang berprasangka buruk kepada kita, kerana itu dalam segala aspek kita hendak menjaga 'standard' di hadapan manusia, tetapi kita langsung tidak takut dan malu pada pandangan Allah SWT terhadap kita.



Kita lebih mencari kecintaan manusia lain berbanding kecintaan kepada Allah SWT kepada kita.

Kita lebih inginkan kemuliaan manusia daripada kemuliaan Allah SWT kepada kita.

Kita meraih redhanya manusia daripada redhanya Allah SWT sehingga sanggup mengenepikan hak Allah dengan melanggar perintah dan suruhanNya hanya kerana ingin menunaikan haknya manusia. Teringat suatu ketika Mu'awiyah meminta wasiat kepada isteri Baginda SAW iaitu Aisyah r.anha lalu 'Aisyah menulis seperti yang pernah disebutkan oleh Baginda SAW yang bermaksud:-

"Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah sedangkan manusia murka, maka Allah akan cukupkan baginya akan segalanya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari keredhaan manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya pada manusia."

(Hadis Sahih Riwayat At-Tirmizi).

Justeru, manakah yang lebih baik? Yang lebih mulia? Yang lebih tinggi ? Redhanya manusia atau redhaNya Allah.. Lalu mengapa terlalu menjaga 'Standard' di Hadapan Manusia – Kenapa Tidak Kerana Allah?

Semoga kita sentiasa muhasabah diri dan menjadi yang terbaik di hadapan Allah. 


sumber : iluvislam.com

Kelebihan Solat Sunat Dhuha

Jumaat, 8 Februari 2013




Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bawahasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:

“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”(Riwayat Ahmad)


Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:

“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).

Sumber : islam2u.net

Tujuh Perkara Aneh Di Dalam Kubur

Khamis, 7 Februari 2013



Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."

" Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu. " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.


Sambung pemuda itu lagi, " Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,"

Pemuda itu menyambung lagi, " Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu." " Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.

" Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah itu, " Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya."

" Golongan kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu. " Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.

" Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya," " Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.

" Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya."

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. 

Wallahua'lam..

Sumber : al-munir.edu.my

Langgan

Masukkan email anda untuk mendapatkan artikel daripada kami
terus ke email anda secara percuma




Sahabat Blog

 
Design by Chicablogger | Contact Us | Creative Commons
Cinta Pencipta © 2013 by Deen Media
^